TOKYO: Nintendo tidak lagi menjual permainan video di Russia menerusi platform dalam talian kerana syarikat gergasi Jepun itu sedang menutup operasinya, secara berperingkat di negara yang dipulau Barat.
Pengumuman perubahan itu berkuat kuasa semalam, diikuti penggantungan penghantaran produk Nintendo ke Russia pada Mac tahun lalu, selepas pencerobohan di Ukraine.
Nintendo dalam satu kenyataan menjelaskan, walaupun pelanggan masih lagi boleh memuat turun semula pembelian kandungan terdahulu, tetapi tiada pembelian baharu boleh dilakukan termasuk pendaftaran akaun baharu.
Menyusuli penggantungan penghantaran dan keputusan mengambil kira jangkaan ekonomi, Nintendo di Eropah memutuskan untuk menutup operasi subsidiari di Russia secara berperingkat.
Kedai dalam talian nintendo, eShop di bawah penyelenggaraan di Russia kerana pembekal pembayarannya sudah menghentikan transaksi mata wang Ruble.
Sejumlah syarikat multinasional sudahpun menghentikan perniagaan di Russia sama ada secara penuh ataupun separuh, sejak perang di Ukraine meletus.
Ada yang mendakwa itu gangguan kepada perniagaan bahkan ada pihak yang mengaitkan langkah itu berkait kemarahan terhadap keputusan Presiden Russia, Vladimir Putin, yang mengerahkan tentera ke Ukraine pada Februari tahun lalu.
Pesaing Nintendo iaitu Sony turut menggantung penghantaran perisian dan perkakasan ke Russia, termasuk operasi Playstation Store di negara berkenaan pada Mac 2022. - AFP