Khamis, 1 Jun 2023 | 3:35pm
Raja Jordan, Abdullah II dan Permaisuri Rania bersama Putera Mahkota Hussein semasa majlis pertunangan dengan Rajwa Al Saif, pada 2022. - Foto REUTERS
Raja Jordan, Abdullah II dan Permaisuri Rania bersama Putera Mahkota Hussein semasa majlis pertunangan dengan Rajwa Al Saif, pada 2022. - Foto REUTERS

Putera Mahkota Jordan berkahwin hari ini

KAHERAH: Jordan sedang bersiap sedia untuk majlis perkahwinan Putera Mahkota Hussein bin Abdullah dengan tunangnya Rajwa al-Seif dari Arab Saudi pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sambutan yang dinanti-nantikan itu berlangsung di Istana Zahran di Amman yang pernah menjadi lokasi perkahwinan bonda dan ayahanda baginda, Raja Abdullah dan Permaisuri Rania, 30 tahun lalu.

Pengantin baharu kemudian akan diarak ke istana lain untuk majlis santapan malam.

Keluarga Diraja dan pembesar dari seluruh dunia dijangka hadir.

Sambutan umum dan konsert dijadualkan sepanjang hari.

Hussein yang dilahirkan pada 28 Jun 1994 ialah seorang kapten tentera Jordan. Baginda dilantik sebagai putera mahkota pada 2009, lima tahun, selepas Abdullah melucutkan gelaran abang tirinya, Hamzah daripada jawatan itu.

Rajwa, 29, kelahiran Riyadh, memiliki ijazah dalam bidang seni bina dan gemar menunggang kuda. Bapanya, Khaled ialah seorang ahli perniagaan.

Beliau mempunyai pertalian diraja melalui ibunya Azza al-Sudairi yang berasal dari keluarga yang sama dengan Raja Saudi Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Perkahwinan itu melambangkan kestabilan Jordan dan peluang untuk menyatukan rakyat dan pemerintah diraja akan datang, selepas pertelingkahan istana 2021 yang digambarkan sebagai krisis politik paling serius di Jordan, sejak Abdullah mengambil alih kuasa.

Abang tiri raja dan bekas putera mahkota Hamzah dituduh terlibat dalam cubaan rampasan kuasa. Bagaimanapun, Hamzah tidak didakwa.

Jordan menyalahkan pihak asing kerana terlibat dalam plot itu, namun laporan menunjukkan penglibatan Saudi, berikutan dua lelaki yang dipenjarakan oleh Amman kerana terlibat dalam kes itu didakwa mempunyai kaitan dengan Arab Saudi.

Oleh itu, ikatan perkahwinan berkenaan dilihat sebagai satu langkah untuk mengeratkan hubungan di antara kedua-dua negara dan pemerintahnya. – BERNAMA-dpa

Raja Jordan, Abdullah II dan Permaisuri Rania di Istana Raghadan, Amman, Jordan. - Foto REUTERS
Raja Jordan, Abdullah II dan Permaisuri Rania di Istana Raghadan, Amman, Jordan. - Foto REUTERS

Berita Harian X