Rabu, 31 Mei 2023 | 7:21pm
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

Penumpang Air New Zealand ditimbang sebelum naiki pesawat

AUCKLAND: Penerbangan Air New Zealand mengenakan prosedur keselamatan yang mana penumpang terpilih akan diminta untuk menimbang berat mereka sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Prosedur itu dilakukan bagi membolehkan data berat penumpang dimasukkan ke dalam kaji selidik, bermula Isnin lalu dan dijangka diteruskan sehingga Julai ini.

Penumpang syarikat penerbangan nasional yang berlepas dengan beberapa penerbangan antarabangsa dari Auckland diminta untuk merekodkan berat badan mereka sebelum menaiki pesawat.

Menurut Air New Zealand, prosedur itu penting untuk memastikan operasi yang selamat dan cekap yang menjadi tuntutan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.

Katanya, mengakui berat badan boleh menjadi perkara yang sensitif, penumpang bagaimanapun tidak perlu khuatir kerana data itu akan dikumpul tanpa dinyatakan nama.

Justeru menurut syarikat penerbangan itu, kakitangan mereka juga tidak akan mengetahui berat badan penumpang yang perlu ditimbang.

Kaji selidik akan dijalankan di pintu masuk penerbangan Air New Zealand tertentu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland.

Nine Network melaporkan, sekurang-kurangnya 10,000 penumpang perlu menyertai kaji selidik ini.

Berdasarkan laporan New Zealand Herald, peraturan mewajibkan prosedur sedemikian bukan yang pertama dilakukan syarikat penerbangan, sebaliknya ia menjadi amalan setiap lima tahun sekali.

Menurutnya, kali terakhir kaji selidik untuk rangkaian antarabangsa itu dijalankan pada 2015.

Sementara itu, pakar kawalan muatan syarikat penerbangan itu, Alastair James, berkata data yang diperoleh akan membantu juruterbang memahami berat dan keseimbangan pesawat sebelum berlepas.

Beliau berkata, pihaknya menimbang semua yang ada di dalam pesawat membabitkan kargo, makanan di atas kapal dan bagasi yang dibawa.

"Untuk pelanggan, anak kapal dan beg kabin, kami menggunakan berat purata, yang didapati daripada prosedur ini, katanya.

James berkata, prosedur yang dijalankan itu adalah mudah, sukarela, dan dengan kaedah itu, penumpang boleh membantu penerbangan yang lebih selamat dan cekap.

Menurut CNN pula, penumpang akan diminta untuk berdiri pada penimbang digital selepas mereka mendaftar masuk.

Katanya, maklumat mengenai berat mereka kemudiannya dimasukkan ke dalam kaji selidik, manakala bagasi pula ditimbang secara berasingan. - AGENSI

Berita Harian X