KAHERAH: Pejabat Ketua Pendakwa Mesir menerima aduan mengenai siri dokumentari baharu Netflix 'Queen Cleopatra' menuntut diharamkan, susulan laporan mengenai sejarah yang tidak tepat dan ketidakpekaan budaya, lapor Sputnik memetik laporan akhbar El-Watan pada Ahad.
Dokudrama empat episod itu ditayangkan di Netflix pada 10 Mei dan mencetuskan kontroversi besar kerana dibintangi pelakon darah campuran British, Adele James sebagai Cleopatra, firaun atau ratu terakhir Mesir yang memerintah Kerajaan Ptolemaic.
Aduan difailkan oleh seorang pegawai dari Kementerian Kebudayaan Mesir mendakwa Netflix memutarbelit imej sejarah yang terkenal dengan mencipta pemalsuan sejarah.
Pegawai itu menuntut agar siri itu dikeluarkan daripada platform penstriman dan diharamkan selama-lamanya, lapor akhbar itu.
Penerbit dokumentari itu sepatutnya berunding dengan ahli arkeologi dan antropologi bagi mencipta imej Cleopatra yang betul, menurut aduan itu.
Berpuluh-puluh ribu orang menandatangani petisyen pada April yang mengkritik pilihan pelakon kulit hitam bagi menggambarkan ratu Mesir Purba, dengan alasan siri itu menjaja 'Afrocentrism' dalam percubaan untuk menuntut sejarah Mesir.
Cleopatra diketahui berasal dari dinasti Yunani Macedonia yang diasaskan oleh Ptolemy, seorang jeneral tentera raja Macedonia Alexander the Great.
Menurut Encyclopaedia Britannica Cleopatra mempunyai sedikit, jika ada, darah Mesir, dan ahli keluarga Ptolemaic pertama yang belajar bahasa Mesir. –BERNAMA-SPUTNIK