Ahad, 28 Mei 2023 | 8:26pm
Presiden Turkiye dan calon Presiden AK Party, Recep Tayyip Erdogan mengundi di Istanbul, hari ini. - Foto AFP
Presiden Turkiye dan calon Presiden AK Party, Recep Tayyip Erdogan mengundi di Istanbul, hari ini. - Foto AFP

Erdogan mengundi pada pusingan kedua pilihan raya presiden

ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengundi pada pusingan kedua pilihan raya presiden pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Ini pilihan raya penentu pertama dalam sejarah demokrasi Turkiye, kata Erdogan kepada pemberita selepas melaksanakan tanggungjawabnya di daerah Uskudar di Istanbul.

Erdogan menggesa semua rakyat untuk mengundi sambil menambah peratusan keluar mengundi hampir 90 peratus dalam pilihan raya awal 14 Mei, satu trend yang jarang berlaku di seluruh dunia.

Pengundian bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan (0500GMT).

Lebih 64.1 juta orang dijangka mengundi, termasuk lebih 1.92 juta pengundi luar negara yang sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dan 4.9 juta pengundi merupakan pengundi kali pertama.

Sebanyak 191,885 peti undi disediakan di seluruh negara.

Dalam pusingan kedua hari ini, Erdogan berdepan Kemal Kilicdaroglu, ketua pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP).

Pengundian di luar negara diadakan sehingga 24 Mei.

Pusat mengundi akan ditutup pada 5 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Berjuta-juta pengundi keluar mengundi pada 14 Mei untuk memilih presiden negara itu dan 600 Ahli Parlimennya.

Turkiye melaksanakan pilihan raya penentu hari ini bagi memilih presiden selepas tiada calon yang memperoleh 50 peratus undi dalam pemilihan pusingan pertama, meskipun Erdogan mendahului dengan 49.52 peratus.– BERNAMA-ANADOLU

Penduduk menunggu di perhentian bas di depan bangunan rosak akibat gempa bumi di Kahramanmaras, pada hari pengundian presiden hari ini. - Foto AFP
Penduduk menunggu di perhentian bas di depan bangunan rosak akibat gempa bumi di Kahramanmaras, pada hari pengundian presiden hari ini. - Foto AFP

Calon Republican People's Party (CHP), Kemal Kilicdaroglu di Ankara. - FotoAFP
Calon Republican People's Party (CHP), Kemal Kilicdaroglu di Ankara. - FotoAFP

Berita Harian X