SEOUL: Mahkamah Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang penumpang yang membuka pintu kecemasan pesawat Asiana Airlines, beberapa minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Daegu, Korea Selatan.
Menurut Agensi Berita Yonhap, lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun itu ditahan ketika mendarat pada Jumaat lalu, selepas membuka pintu ketika pesawat Airbus A321-200 berada pada ketinggian 213 meter yang menyebabkan panik di dalam pesawat.
Mahkamah Rendah Daegu mengeluarkan waran penahanan ke atas lelaki terbabit di atas dakwaan melanggar Akta Keselamatan Penerbangan, dengan mengatakan terdapat risiko dia mungkin cuba untuk melarikan diri, sebelum perbicaraan berlangsung.
Waran berkenaan membolehkan polis menahannya dalam tempoh yang lebih lama. Lelaki berkenaan bagaimanapun tidak didakwa dalam prosiding itu.
Pegawai hanya mendedahkan nama lelaki itu melalui nama keluarganya iaitu Lee, tetapi tidak memberikan butiran nama penuhnya.
Lee memberitahu, dia membuka pintu itu untuk keluar lebih cepat dari pesawat.
"Saya memohon maaf kepada semua kanak-kanak terbabit," katanya ketika diiring memasuki mahkamah, dan beliau merujuk kepada kanak-kanak yang dibawa ke hospital kerana masalah pernafasan selepas pintu dibuka semasa penerbangan.
Syarikat penerbangan Asiana Airlines mulai hari ini menghentikan jualan tempat duduk di sebelah pintu kecemasan, berikutan kejadian penumpang membuka pintu kecemasan. - REUTERS