Ahad, 28 Mei 2023 | 4:55pm
Menurut PBB, jumlah warga emas diunjurkan meningkat dua kali ganda pada 2050 dan tiga kali ganda pada 2100. - Foto hiasan/Freepik
Menurut PBB, jumlah warga emas diunjurkan meningkat dua kali ganda pada 2050 dan tiga kali ganda pada 2100. - Foto hiasan/Freepik

Australia ikrar tingkatkan sistem penjagaan

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese melancarkan draf bagi meningkatkan kualiti penjagaan warga emas, hilang upaya, veteran dan perkhidmatan awal kanak-kanak di negara itu, lapor Xinhua.

Albanese pada Ahad mendedahkan draf Strategi Nasional untuk Ekonomi Penjagaan dan Sokongan, bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan buat semua rakyat Australia.

Reaksi daripada orang ramai mengenai bagaimana sistem itu boleh diperbaiki turut dialu-alukan, katanya.

"Tenaga kerja bagi penjagaan dan sokongan penting kepada ekonomi Australia, terutamanya apabila permintaan bagi penjagaan warga emas dan perkhidmatan pendidikan awal semakin meningkat.

"Oleh itu, kita perlu mendengar daripada mereka yang terbabit secara langsung," katanya dalam satu kenyataan media.

Draf berkenaan mendedahkan kadar gaji rendah, peluang untuk kemajuan yang terhad, keadaan tidak selamat dan beban kerja yang tinggi mendorong kekurangan tenaga kerja dalam bidang terbabit.

Unjuran kenaikan kos akan memberi tekanan besar kepada belanjawan Persekutuan.

Jumlah warga Australia yang berumur 65 tahun ke atas diunjurkan meningkat lebih 50 peratus daripada 4.3 juta pada 2021 kepada 6.6 juta menjelang 2041.

Pada Mei, kerajaan mengumumkan perbelanjaan 11.3 bilion dolar Australia (AS$7.3 bilion) untuk membiayai kenaikan gaji pekerja di sektor jagaan warga emas dalam usaha meningkatkan kualiti kakitangan. –BERNAMA-XINHUA

Berita Harian X