Selasa, 16 Mei 2023 | 8:08am
Kesan kebakaran pada asrama Loafers Lodge di Wellington yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam mangsa. - Foto AFP
Kesan kebakaran pada asrama Loafers Lodge di Wellington yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam mangsa. - Foto AFP

Sekurang-kurang 6 maut kebakaran asrama New Zealand

WELLINGTON: Sekurang-kurang enam maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah asrama empat tingkat pada awal pagi Selasa di tengah Wellington, ibu negara New Zealand.

Asap dilihat dari asrama Loafers Lodge pada waktu malam, ketika 80 anggota bomba dan 20 trak memadamkan kebakaran.

Polis dan perkhidmatan kecemasan berkata ramai mangsa meninggal dunia dan 52 orang diselamatkan dengan puluhan lagi tidak dapat dikesan.

Perdana Menteri Chris Hipkins berkata jumlah kematian sekurang-kurangnya enam orang.

Anggota bomba menggunakan trak tangga untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di atas bumbung, kata Timbalan Komander Bomba dan Kecemasan, Brendan Nally.

"Mereka mengambil beberapa mangsa dari atas bumbung dari kawasan tepat di atas api," kata Nally kepada Radio New Zealand.

Seorang penghuni asrama, yang hanya dikenali sebagai sebagai Chris, memberitahu penyiar awam TVNZ bahawa dia merangkak keluar dari biliknya untuk melarikan diri melalui asap tebal.

Kira-kira 90 orang dipercayai berada di dalam bangunan itu ketika kebakaran bermula, kata perkhidmatan bomba.

Perdana menteri menyifatkan kebakaran itu sebagai tragedi.

Ditanya jumlah kematian, Hipkins berkata: "Saya difahamkan enam disahkan sebelum ini, tetapi nampaknya ada lebih banyak lagi."

Beliau berkata ramai pekerja syif tinggal di asrama itu, menyukarkan untuk mengetahui bilangan orang yang berada di dalam bangunan ketika kebakaran.

Enam mangsa dibawa ke hospital, seorang dalam keadaan kritikal, kata perkhidmatan ambulans Wellington dengan 15 lagi mangsa dirawat di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata jumlah kematian dijangka kurang daripada 10, tetapi jumlah itu hanya akan diketahui selepas mereka boleh mengakses bangunan itu. - AFP

Berita Harian X