SAN FRANCISCO: Meta hari ini memberi amaran mengenai penggodam kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif seperti ChatGPT untuk menipu orang ramai supaya memasang kod berniat jahat pada peranti.
Ketua Pegawai Keselamatan Maklumatnya, Guy Rosen berkata sepanjang bulan lalu, penganalisis keselamatan kepada syarikat gergasi media sosial itu sudah menemui perisian hasad yang menyamar sebagai ChatGPT atau alat serupa AI.
"Gelombang terbaru kempen perisian hasad sudah mengambil perhatian mengenai teknologi AI generatif yang sudah menarik imaginasi serta keseronokan orang ramai," katanya dalam taklimat.
Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan WhatsApp, sering berkongsi apa yang ditemui mereka dengan rakan industri dan orang lain dalam komuniti pertahanan siber.
Rosen berkata Meta melihat 'pelaku pengancam' itu menjaja sambungan pelayar internet yang menjanjikan keupayaan AI generatif, namun mengandungi perisian hasad yang direka untuk menggodam peranti.
Secara umum, menjadi perkara biasa bagi penggodam mengumpan mangsa mereka dengan perisian yang menarik perhatian, dengan menipu orang ramai supaya mengklik pautan sesawang palsu atau memuat turun program untuk mencuri data.
"Kami sudah melihat ia merentasi topik lain yang popular seperti penipuan crypto yang didorong oleh minat yang besar dalam mata wang digital. Dari perspektif kini, ChatGPT ialah 'kripto' baru," katanya.
Meta menemui dan menyekat lebih seribu laman seswang yang dikesan sebagai alat seperti ChatGPT, menjanjikan tawaran tertentu namun sebenarnya perangkap ditetapkan oleh penggodam.
- AFP