SYDNEY: Lelaki warga Australia yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pergi memancing ditemui maut dibaham buaya.
Polis hari ini berkata mayat Kevin Darmody, 65, ditemui di dalam perut dua buaya di utara Queensland.
Hasil pemeriksaan menemui anggota tubuh manusia dalam badan pemangsa terbabit, kata polis.
Ketika kejadian, mendiang bersama ahli kumpulan yang menyertai ekspedisi berkenaan dikatakan menghalau buaya di kawasan itu, sebelum memulakan aktiviti memancing.
Inspektor Cairns, Mark Henderson, berkata pemancing lain bersama pengurus sebuah pub kemudian terdengar jeritan kuat, diikuti percikan air.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai tragik, selain menjelaskan mendiang yang berasal dari Laura di Queensland, sebagai insan yang sangat baik.
Renjer kemudian menggunakan senapang untuk menembak dan membunuh dua buaya, masing-masing berukuran kira-kira 4.2 meter (m) dan 2.8m yang ditemui di hulu sungai Taman Negara Lakefield.
Sementara itu, Jabatan Hidupan Liar Queensland menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran buaya.
"Kawasan ini terkenal dengan buaya, terutama di perairan Lakefield yang diisytiharkan khusus bagi pemuliharaan reptilia berkenaan," katanya. - AFP