Selasa, 21 March 2023 | 4:23pm
Presiden Xi berbual-bual dengan Putin, pada Isnin. - Foto AP
Presiden Xi berbual-bual dengan Putin, pada Isnin. - Foto AP

Xi dan Putin bertemu di Kremlin

MOSCOW: Presiden China, Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin di Istana Kremlin, pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin mengambil kesempatan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu yang diberikan perhatian bersama.

Xi dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Putin atas undangannya untuk ke Russia sambil mengimbau kembali kenangan terhadap lawatan rasminya yang pertama ke negara itu, selepas beliau menyandang jawatan Presiden China 10 tahun lalu.

"Dalam tempoh sepuluh tahun ini, saya dan Presiden Putin mengekalkan komunikasi yang erat. Setelah saya dipilih semula sebagai Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dalam Kongres Kebangsaan ke-20 PKC, serta dipilih semula sebagai Presiden China baru-baru ini, Presiden Putin segera mengutus perutusan tahniah kepada saya.

"Pemilihan Presiden bakal diadakan di Russia pada tahun depan. Russia telah mencapai kemajuan besar di bawah pimpinan Presiden Putin. Saya percaya rakyat Russia pasti akan terus memberikan sokongan kukuh kepada anda," kata Xi.

Menurutnya, hubungan China-Rusia berkembang ke hari ini mempunyai logik sejarahnya yang mendalam.

"Sebagai negara jiran yang paling besar dan rakan perkongsian strategik komprehensif, hubungan di antara China dengan Russia mempunyai kedudukan keutamaan dalam hubungan serta dasar luar negara masing-masing," kata Xi.

Beliau berkata, China mempertahan dasar luar yang bebas. Pengukuhan dan pembangunan hubungan dengan Russia ialah pilihan strategik China yang berasaskan kepentingan sendiri dan situasi pembangunan dunia.

Xi berpendapat, hala tuju untuk meningkatkan penyelarasan strategik di antara China dengan Russia kekal tidak berbelah bahagi.

"China dan Russia masing-masing berusaha untuk mewujudkan pembangunan dan kemakmuran negara, menyokong multipolarisasi serta mendorong proses demokrasi dalam hubungan antarabangsa.

"Kedua-dua negara perlu memperkasa kerjasama praktikal dalam pelbagai sektor, meningkatkan penyelarasan dan kerjasama di platform pelbagai hala, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sementara mendorong pembangunan dan kemakmuran di negara masing-masing serta menjadi tunjang utama, bagi kedamaian dan kestabilan dunia," katanya. .

Sementara itu, Putin yang menyambut baik lawatan rasmi Xi ke Russia, sekali lagi mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Presiden China.

Menurutnya, China mencapai kejayaan yang mengagumkan dalam pembangunan pelbagai bidang dalam tempoh 10 tahun lalu.

"Ini disebabkan kepimpinan yang cemerlang Presiden Xi serta membuktikan keunggulan sistem negara dan sistem tadbir urus China.

"Saya yakin dengan pimpinan kuat Presiden Xi, China akan terus mewujudkan pembangunan dan kemakmuran, mencapai pelbagai matlamat cemerlang yang ditetapkan.

"Dengan usaha bersama kedua-dua negara kita, hubungan di antara Russia dengan China mencapai hasil yang baik dalam pelbagai bidang," jelas Putin.

Beliau turut menyatakan Russia bersedia untuk terus memperkasa kerjasama praktikal dua hala, meningkatkan komunikasi dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa serta mendorong multipolarisasi dan mendorong proses demokrasi dalam hubungan antarabangsa.

Dalam rundingan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pendapat berhubung isu Ukraine.

Xi berkata, kini semakin banyak suara kedamaian dan rasional terhadap isu Ukraine didengari dan kebanyakan negara menyokong untuk meredakan situasi serta mengadakan rundingan damai.

"Dari sudut sejarah, semua konflik diselesaikan melalui dialog dan rundingan pada akhirnya.

"Tidak lama dahulu, China khusus mengedarkan dokumen pendirian yang menyeru penyelesaian krisis Ukraine secara damai, menentang mentaliti Perang Dingin dan sekatan sebelah sepihak.

"China bersedia terus memainkan peranan bagi mendorong penyelesaian isu Ukraine melalui saluran politik," katanya.

Putin turut memuji China yang teguh mempertahan pendirian yang adil, objektif dan seimbang serta menjunjung keadilan dan kesaksamaan dalam isu-isu antarabangsa yang penting.

"Russia telah meneliti dokumen pendirian China tentang penyelesaian isu Ukraine melalui saluran politik.

"Kami (Russia) mengambil sikap terbuka tentang rundingan damai dan mengalu-alukan China memainkan peranan membina dalam perkara tersebut," tambah Putin. – BERNAMA

Surat khabar China meletakkan berita pertemuan Xi dan Putin pada muka depan, hari ini. - Foto AFP
Surat khabar China meletakkan berita pertemuan Xi dan Putin pada muka depan, hari ini. - Foto AFP

Berita Harian X