WELLINGTON: Hampir 50,000 guru di New Zealand melancarkan mogok dengan meninggalkan kelas, hari ini, bagi menuntut kenaikan gaji dan keadaan pekerjaan serta sumber yang lebih baik, ketika Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Chris Hipkins, sedang berusaha meraih semula sokongan.
Guru yang menjadi pengundi tradisi kerajaan Parti Buruh, adalah kumpulan penjawat awam terkini melancarkan mogok bagi menuntut kenaikan gaji dan peruntukan kepada sekolah dalam menghadapi kenaikan kos di New Zealand.
Sejak pelantikan Hipkins pada Januari lalu bagi menggantikan bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, kerajaan Parti Buruh menyatakan komitmen untuk menangani isu berkait kenaikan kos dan membantu rakyat.
Penganalisis politik melihat langkah itu sebagai usaha memenangi semula sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum pada Oktober depan, dan dibuat selepas kenaikan faedah keselamatan sosial diumumkan pada minggu ini.
"Kami tahu guru telah melalui tempoh sukar sejak beberapa tahun lalu, begitu juga semua orang lain, namun saya bersimpati dengan mereka," kata Menteri Pendidikan yang juga bekas guru, Jan Tinetti, sebagaimana dilaporkan 1News.
Presiden kesatuan guru NZEI Te Riu Roa, Mark Potter, dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata tawaran terkini daripada kerajaan adalah tidak mencukupi untuk guru, pentadbir mahupun pelajar.
"Mogok adalah tindakan terakhir yang kami mahu lakukan, namun ahli kesatuan mahu menghantar mesej kepada kerajaan mengenai betapa seriusnya kami dalam menuntut perubahan," katanya. - REUTERS