SYDNEY: Australia mengadakan taklimat kepada negara jiran Asia mengenai rancangan membina kapal selam nuklear sebelum pengumuman mengenai perkara itu di Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Anthony Albanese, berkata projek itu berupaya menjana sehingga 20,000 pekerjaan, berdasarkan laporan media tempatan berhubung program itu
Presiden AS, Joe Biden; Albanese dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak akan bertemu di San Diego hari ini bagi mengumumkan rancangan untuk Australia memperoleh armada kapal selam berkuasa nuklear pada dekad akan datang.
Australia memaklumkan kepada jiran serantaunya mengenai rancangan itu, yang dikenali sebagai AUKUS, kata Albanese semalam di San Diego, selepas bertemu dengan Sunak.
"Saya juga bercakap dengan pemimpin lain di rantau ini, menjelaskan kedudukan kami. Ia diterima baik dan mereka memahami mengapa kami melakukannya," kata Albanese kepada pemberita.
China sebelum ini membantah pemindahan teknologi mendorong Australia menjadi kuasa nuklear.
Pakatan AUKUS membabitkan AS, Britain dan Australia sedang berusaha menentang peningkatan kegiatan ketenteraan China dan tekanannya terhadap Taiwan.
Ketua Eksekutif Perth USAsia Center, Gordon Flake, berkata pengumuman pada 2021 bahawa AS dan Britain akan berkongsi teknologi kapal selam nuklear dengan Australia mengejutkan banyak kerajaan di Asia Tenggara.
"Kerajaan melakukan perkara yang betul dengan mengadakan taklimat ini, berikutan banyak salah faham awal mengenai perjanjian itu di Asia Tenggara.
"Ini berikutan mereka tidak memahami nuansa antara kapal selam berkuasa nuklear dan kapal selam bersenjata nuklear. Kebimbangan itu telah lama terlerai," katanya.
Sementara itu, di Australia, Albanese berdepan tekanan untuk menunjukkan projek pertahanan termahal dalam sejarah negara itu adalah berpatutan dan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta rangsangan kepada industri tempatan.
Reuters sebelum ini melaporkan, dijangkakan kapal selam pertama itu akan dibeli dari AS dan pada peringkat akhir AUKUS, projek bersama membabitkan reka bentuk British akan dilancarkan.
Akhbar tempatan hari ini melaporkan rancangan kerajaan itu menunjukkan 20,000 pekerjaan, termasuk 8,500 bagi pembinaan kapal selam, akan diwujudkan di Australia dalam tempoh 30 tahun.
"Ini mengenai (peluang) pekerjaan, termasuk pekerjaan dan pembuatan, khususnya Adelaide yang akan menjadi penerima manfaat besar pengumuman ini, selain Australia Barat," katanya kepada pemberita kelmarin. - REUTERS