Ahad, 12 March 2023 | 4:49pm
Kejiranan yang banjir di Lambayeque, Peru, selepas dibadai puting beliung Yaku kini berada di Pasifik Selatan, di luar pesisir Peru dan Ecuador. - Foto AP
Kejiranan yang banjir di Lambayeque, Peru, selepas dibadai puting beliung Yaku kini berada di Pasifik Selatan, di luar pesisir Peru dan Ecuador. - Foto AP

6 maut di Peru, seorang di Mozambique akibat bencana alam

LIMA: Sekurang-kurangnya enam orang maut di Peru sejak beberapa hari lalu apabila taufan kuat disusuli hujan lebat melanda ratusan rumah, menyebabkan bencana alam besar di kawasan utara Amerika Latin.

Pihak berkuasa berkata kerajaan sudah mengisytiharkan darurat dan berusaha membawa bantuan ke Lambayeque, Piura dan Tumbes selepas dilanda taufan yang dikenali sebagai Yaku.

Institut Pertahanan Awam Negara (INDECI) berkata banjir yang disebabkan oleh Yaku meragut enam nyawa kelmarin.

Kemudian, INDECI berkata 58 orang terbunuh sejak permulaan musim hujan, yang bermula beberapa bulan lalu.

Penduduk meredah banjir menyaksikan kemusnahan rumah dan perkampungan mereka di wilayah terpencil, Illimo di Piura, Peru akibat puting beliung Yaku. - Foto AFP
Penduduk meredah banjir menyaksikan kemusnahan rumah dan perkampungan mereka di wilayah terpencil, Illimo di Piura, Peru akibat puting beliung Yaku. - Foto AFP

Sementara itu di Mozambique semalam, Taufan Freddy yang melanda sejak dua minggu dan mengorbankan 27 mangsa, meragut satu lagi nyawa semalam selain memusnahkan bumbung serta penghadang di pelabuhan, kata penduduk dan media tempatan

Freddy, salah satu taufan paling kuat pernah direkodkan, mula melanda pantai pada jam 10 malam waktu tempatan (2000 GMT) selepas beberapa jam membadai pantai selatan Afrika dengan hujan.

Taufan itu melanda negara terbabit buat kali kedua selepas dikesan berhampiran Indonesia pada 6 Februari.

"Pekan ini adalah zon larangan, tiada kedai atau perniagaan dibuka, semuanya ditutup. Kami dikurung.

Penduduk tempatan meredah banjir di Quelimane, selepas taufan Freddy membadai Mozambique semalam dan dijangka melanda Marromeu hingga Pebane sejauh 300 kilometer selepas ini sebelum bergerak ke pedalaman menghala Cherimane dan selatan Malawi. - Foto EPA

"Saya dapat melihat beberapa rumah yang bumbungnya ranap, tingkap pecah dan jalan raya dinaiki air. Ia sangat menakutkan," kata penduduk Vania Massingue melalui telefon dari rumahnya di penempatan pelabuhan Quelimane, yang terletak di laluan ribut di wilayah Zambezia tengah.

Penyiar negeri TVM berkata seorang maut akibat rumahnya runtuh, dan utiliti elektrik dimatikan sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga. Semua penerbangan digantung, tambahnya.

Menurut pakar meteorologi, taufan yang bergerak perlahan itu akan menyerap lebih banyak lembapan dari laut selain membawa hujan lebat.

Di seluruh dunia, perubahan iklim menjadikan taufan lebih basah, berangin dan kuat, kata saintis.

Pokok tumbang menghalang jalan di Quelimane, Mozambique selepas dilanda Taufan Freddy buat kali kedua, membadai negara selatan Afrika itu dengan hujan lebat. - Foto AP
Pokok tumbang menghalang jalan di Quelimane, Mozambique selepas dilanda Taufan Freddy buat kali kedua, membadai negara selatan Afrika itu dengan hujan lebat. - Foto AP

Lautan menyerap lebihan haba daripada pelepasan gas rumah hijau, dan apabila air laut suam menyejat tenaga habanya dipindahkan ke atmosfera dan mencetuskan taufan yang bahaya.

Lebih 171,000 orang terjejas selepas taufan itu melanda selatan Mozambique bulan lalu, membawa hujan lebat dan banjir yang merosakkan tanaman dan memusnahkan rumah.

Lebih setengah juta orang berisiko di Mozambique terutamanya di wilayah Zambezia, Tete, Sofala dan Nampula.

Freddy, dijangka melanda timur laut Zimbabwe, tenggara Zambia dan Malawi selepas ini. - REUTERS

Berita Harian X