Khamis, 9 March 2023 | 11:53pm
Hotel Marina Bay Sands di Singapura hampir tidak kelihatan kerana diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia, yang turut menjejaskan mutu udara di Malaysia. - Foto AFP
Hotel Marina Bay Sands di Singapura hampir tidak kelihatan kerana diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia, yang turut menjejaskan mutu udara di Malaysia. - Foto AFP

Hampir seluruh dunia terdedah kepada udara tidak sihat

MELBOURNE: Kajian mendedahkan sebahagian besar kawasan di seluruh dunia kini diancam pencemaran udara yang serius, dengan mutu udara yang tidak sihat.

Menurut kajian yang diterbitkan jurnal, The Lancet Planetary Health, tahap pencemaran udara semasa melebihi had keselamatan yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia melaporkan, kira-kira 99.82 peratus daripada kawasan darat di dunia terdedah kepada tahap zarah 2.5 bahgian dalam sejuta (PM) iaitu zarah kecil di udara yang dikaitkan saintis dengan barah paru-paru dan penyakit jantung.

Hanya 0.001 peratus daripada penduduk dunia yang menghirup udara yang dianggap boleh diterima, menurut jurnal itu.

Pencemaran udara teruk menyelubungi Bangkok, Thailand, sebahagian besar akibat pembakaran terbuka dan kebakaran hutan. - Foto EPA
Pencemaran udara teruk menyelubungi Bangkok, Thailand, sebahagian besar akibat pembakaran terbuka dan kebakaran hutan. - Foto EPA

Kajian oleh saintis di Australia dan China itu turut mendapati bahawa pada peringkat global, lebih 70 peratus daripada 365 hari pada 2019 mencatatkan kepekatan harian PM2.5, mengatasi 15 mikrogram (mcg) bahan pencemar gas setiap meter padu seperti mana disyorkan WHO sebagai had harian.

Mutu udara amat membimbangkan di kawasan seperti Asia selatan dan Asia timur, di mana lebih 90 peratus hari dalam setahun mempunyai kepekatan PM2.5 melebihi ambang 15mcg.

Ketua penyelidik, profesor kesihatan alam sekitar, Dr Yuming Guo, dari Universiti Monash, berkata walaupun sebarang jumlah PM2.5 berbahaya, saintis dan pengawal selia biasanya kurang mengambil berat mengenai tahap harian berbanding pendedahan kronik.

Gambar menunjukkan ruang udara di Jakarta, Indonesia yang tercemar teruk. - Foto AFP
Gambar menunjukkan ruang udara di Jakarta, Indonesia yang tercemar teruk. - Foto AFP

"Saya berharap kajian kami dapat mengubah fikiran saintis dan penggubal dasar mengenai pendedahan harian PM2.5 harian.

"Pendedahan jangka pendek terutama peningkatan mendadak kepada PM2.5 (dikaitkan dengan) masalah kesihatan yang ketara," katanya.

Saintis dan pegawai kesihatan awam sudah lama berwaspada terhadap bahaya pencemaran udara yang membunuh 6.7 juta orang setahun, dengan hampir dua pertiga daripada kematian pramatang disebabkan oleh bahan zarahan halus .

Seorang lelaki terpaksa menutup hidung apabila berjalan di kawasan Shampur, Dhaka, di Bangladesh yang disifatkan antara bandar dengan udara paling tercemar di dunia. - Foto EPA
Seorang lelaki terpaksa menutup hidung apabila berjalan di kawasan Shampur, Dhaka, di Bangladesh yang disifatkan antara bandar dengan udara paling tercemar di dunia. - Foto EPA

Namun, tugas mengukur pendedahan global kepada PM2.5 menjadi satu cabaran kerana kekurangan stesen pemantauan pencemaran.

Prof Guo dan pengarang bersamanya mengatasi cabaran itu dengan memadankan pengukuran pencemaran udara berasaskan tanah yang dikumpulkan daripada lebih 5,000 stesen pemantauan di seluruh dunia.

Simulasi pembelajaran mesin, data meteorologi dan faktor geografi digunakan untuk menganggarkan kepekatan PM2.5 harian global. - AGENSI

Berita Harian X