Rabu, 8 March 2023 | 2:14pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Australia tuntut Russia banteras penjenayah siber

SYDNEY: Australia menuntut Russia membanteras sejumlah besar penjenayah siber yang beroperasi di negara itu, dengan mengatakan tindakan mereka menimbulkan ancaman kepada keselamatan negaranya.

Komen itu datang ketika Canberra memperbaharui dasar keselamatan sibernya berikutan serangan siber ke atas beberapa syarikat terbesar di negara itu.

Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Michael Pezzullo, berkata penjenayah siber terbesar terutama yang gunakan perisian tebusan atau 'ransomware', berpangkalan di Russia.

"Mereka (Russia) bukan negara yang mematuhi undang-undang dan pemikiran bahawa kita boleh menggunakan disiplin dan penguatkuasaan undang-undang konvensional terhadap mereka... tidak mungkin berlaku.

"Kami menggesa kerajaan Russia untuk membawa penggodam itu ke muka pengadilan," katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan AFR di Sydney.

Bagaimanapun, jurucakap kedutaan Russia enggan mengulas lanjut.

Kerajaan Australia bulan lalu berkata, ia merancang untuk merombak peraturan keselamatan siber dan menubuhkan sebuah agensi di jabatan Pezzullo untuk menyelaras pelaburan kerajaan dalam bidang itu bagi bertindak balas terhadap serangan penggodam.

Langkah itu susulan peningkatan serangan siber sejak akhir tahun lalu dengan pelanggaran dilaporkan oleh sekurang-kurangnya lapan syarikat, termasuk syarikat insurans kesihatan Medibank Private Ltd dan syarikat telekomunikasi Optus, yang dimiliki Singapore Telecommunications Ltd.

"Serangan ke atas infrastruktur teknologi kritikal adalah ancaman terbesar kepada keselamatan negara.

"Serangan siber sebenarnya boleh datang tanpa sebarang kaitan, ia boleh jadi perbuatan jenayah selain proksi yang bekerja bersama atau bagi pihak sesebuah negeri atau boleh jadi sebuah negeri.

"Kekaburan dan kekeliruan akibatnya saja sudah menjadi cabaran besar bagi penetapan dasar, apatah lagi menyelaras peraturan," katanya.

Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyekat beberapa warga Russia yang dituduh melakukan serangan siber bulan lalu, dengan mendakwa serangan 'ransomware' melumpuhkan perniagaan, sekolah dan hospital. - REUTERS

Berita Harian X