LONDON: Penerima Anugerah Nobel Keamanan yang juga aktivis hak asasi manusia, Ales Bialiatski dihukum penjara 10 tahun oleh mahkamah Belarus, semalam.
Hukuman itu dijatuhkan selepas beliau didapati bersalah mendanai protes di negara itu, dalam perbicaraan yang dikecam Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai satu 'penipuan'.
Bialiatski, 60, menerima Anugerah Nobel pada Oktober tahun lalu kerana usahanya memperjuangkan hak asasi dan demokrasi di Belarus, di mana Presidennya, Alexander Lukashenko yang juga sekutu rapat Russia, memerintah dengan kuku besi selama hampir 30 tahun dan memenjarakan penentangnya atau memaksa mereka melarikan diri.
Rakaman di mahkamah Minsk menunjukkan Bialiatski yang juga pengasas bersama kumpulan hak asasi Viasna, dilihat muram dengan kedua-dua tangannya bergari di belakang.
Bialiatski yang ditahan pada 2021, bersama tiga lagi tertuduh didakwa mendanai beberapa protes dan menyeludup wang.
Agensi berita Belarus, Belta mengesahkan semua tertuduh dihukum penjara dengan tempoh yang panjang, termasuk 10 tahun kepada Bialiatski.
Beliau menafikan semua pertuduhan ke atasnya, dan menyifatkannya bermotifkan politik. Pemimpin pembangkang Belarus dalam buangan, Sviatlana Tsikhanouskaya mendakwa Bialiatski dan tiga lagi aktivis dihukum secara tidak adil dan menyifatkan keputusan mahkamah sebagai 'mengejutkan'.
"Kita mesti melakukan segala-galanya untuk menentang ketidakadilan yang memalukan ini dan membebaskan mereka," katanya pemimpin wanita itu di Twitter.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) mengecam keputusan itu dan menyifatkan perbicaraan itu sebagai satu penipuan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan ketua dasar luar EU, Josep Borrell menyifatkan pemenjaraan itu sebagai usaha menyekat demokrasi dan hak asasi di Belarus.
Ketua Jawatankuasa Nobel Norway, Berit Reiss-Andersen pula menyifatkan hukuman terhadap Bialiatski sebagai 'tragedi' bermotifkan politik dan menunjukkan rejim Belarus menentang kebebasan bersuara.
Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ravina Shamdasani, pula memaklumkan badan itu bimbang dengan prosiding yang tidak adil serta ketiadaan akses pada institusi kehakiman yang bebas di Belarus. - REUTERS