Rabu, 25 Januari 2023 | 8:02am
Chris Hipkins secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand menggantikan Jacinda Ardern. - Foto AP
Chris Hipkins secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand menggantikan Jacinda Ardern. - Foto AP

Chris Hipkins sah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-41 New Zealand

WELLINGTON: Chris Hipkins secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand menggantikan Jacinda Ardern.

Pelantikan Hipkins disahkan oleh wakil Raja Charles III di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro selepas mengangkat sumpah jawatan pada jam 11.23 pagi tadi (waktu tempatan) menjadikannya Perdana Menteri ke-41 New Zealand.

Ia menyusul selepas bekas Perdana Menteri Jacinda Ardern, 42, menyerahkan warkah peletakan jawatannya kepada Kiro pagi tadi.

Hipkins, 44, yang juga bekas Menteri Tindak Balas COVID-19 dan Menteri Polis dipilih oleh Parti Buruh secara rasmi Ahad lalu.

Hipkins kemudiannya mengadakan pertemuan pertamanya dengan Menteri Buruh sebelum bertemu media.

"Ini adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab terbesar dalam hidup saya," kata Hipkins dalam ucapan sulungnya sebagai PM.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri pula disandang Carmel Sepuloni yang turut mengangkat sumpah jawatan pada Rabu.

Hipkins kini perlu membina semula sokongan untuk parti yang agak ketinggalan dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya pada Oktober ini.

Beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat kabinet pertamanya hari ini. - AGENSI

Berita Harian X