Ahad, 22 Januari 2023 | 8:51am
Menteri Pendidikan New Zealand, Chris Hipkins dipilih Parti Buruh untuk menggantikan Jacinda Ardern sebagai ketua parti dan Perdana Menteri baharu New Zealand. - Foto AP
Menteri Pendidikan New Zealand, Chris Hipkins dipilih Parti Buruh untuk menggantikan Jacinda Ardern sebagai ketua parti dan Perdana Menteri baharu New Zealand. - Foto AP

Parti Buruh pilih Chris Hipkins ganti Jacinda Ardern

WELLINGTON: Ahli Parlimen Parti Buruh New Zealand mengesahkan memilih Chris Hipkins bagi menggantikan Jacinda Ardern sebagai ketua parti dan Perdana Menteri baharu New Zealand.

Hipkins, 44, dilihat individu yang layak untuk jawatan itu dan pengesahannya dilakukan oleh 64 Ahli Parlimen, yang dikenali sebagai kaukus Buruh, sebahagian besarnya adalah formaliti.

Hipkins berkata, beliau mendapat sokongan daripada rakan pimpinan untuk mengambil alih tugas itu.

Ini berikutan, Khamis lalu, Ardern membuat kejutan apabila mengumumkan pengundurannya daripada kerajaan.

Pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen untuk Parti Buruh pada tahun 2008, nama Hipkins menjadi sebutan berikutan menguruskan tindak balas kerajaan terhadap wabak COVID-19.

Pada Julai 2020, beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan sebelum menjadi menteri tindak balas COVID pada akhir tahun.

Dilaporkan, Hipkins juga akan mengadakan sidang akhbar berikutan pengesahannya dan dijangka mengumumkan Timbalan Perdana Menteri yang baharu.

Katanya, Grant Robertson, yang kini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkemungkinan memegang jawatan Menteri Kewangan.

Sebelum Hipkins menjawat jawatan itu secara rasmi, Ardern mesti menyerahkan peletakan jawatannya kepada wakil Raja Charles III di New Zealand, Gabenor Jeneral Cindy Kiro.

Selepas itu Kiro akan melantik Hipkins untuk memegang jawatan itu dan akan mengangkat sumpah. - REUTERS

Berita Harian X