Jumaat, 16 Disember 2022 | 9:22pm
kadar kematian global akibat taun meningkat dan terdapat kira-kira 30 negara di seluruh dunia yang sudah melaporkan wabak itu, kira-kira satu pertiga lebih tinggi daripada tahun sebelum ini. - Foto AGENSI
kadar kematian global akibat taun meningkat dan terdapat kira-kira 30 negara di seluruh dunia yang sudah melaporkan wabak itu, kira-kira satu pertiga lebih tinggi daripada tahun sebelum ini. - Foto AGENSI

Kami kehabisan stok vaksin taun - WHO

GENEVA: Stok vaksin taun di peringkat global yang diuruskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dikesan 'kosong atau sangat rendah ketika ini', tatkala berlaku kebangkitan semula penyakit itu di seluruh dunia.

Agensi kesihatan PBB itu berkata, kadar kematian global meningkat dan terdapat kira-kira 30 negara di seluruh dunia yang sudah melaporkan wabak taun, kira-kira satu pertiga lebih tinggi daripada tahun sebelum ini.

"Kami tidak mempunyai vaksin lagi. Lebih banyak negara terus meminta dan ia amat mencabar," kata Ketua Pasukan WHO bagi Penyakit Kolera dan Epidemik Cirit-birit, Dr Philippe Barboza.

Beliau juga merujuk kepada simpanan kecemasan yang dipegang oleh Kumpulan Penyelaras Antarabangsa mengenai penyediaan vaksin, yang diuruskan oleh WHO dan rakan kongsi lain.

Biasanya, mereka mempunyai kira-kira 36 juta dos yang tersedia setahun dan kekurangan vaksin mendorong WHO untuk menangguhkan sementara strategi vaksinasi dua dos standard pada bulan Oktober.

Barboza berkata, sebahagian daripada masalah itu adalah disebabkan oleh keputusan pengeluar India untuk menghentikan eksport, tanpa memberikan sebarang butiran.

Beliau juga berkata pengeluar Afrika Selatan merancang untuk memulakan pengeluaran tetapi ia akan mengambil masa 'beberapa tahun'.

"Mungkin jauh kurang menarik untuk membangunkan vaksin kolera berbanding membangunkan vaksin COVID-19, di mana pendapatan yang diperoleh untuk vaksin itu jauh lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, sekumpulan lebih daripada sejuta dos tiba Haiti minggu ini.

Wabak kolera merebak melalui makanan atau air yang tercemar dan boleh menyebabkan cirit-birit akut.

Ramai orang mempunyai simptom ringan tetapi ia boleh membunuh dalam beberapa jam jika tidak dirawat.

"Adalah tidak boleh diterima pada abad ke-21 untuk mempunyai orang yang mati akibat penyakit yang sangat terkenal dan sangat mudah untuk dirawat," tambah Barboza.

Antara negara yang mempunyai wabak itu adalah yang terjejas oleh kemiskinan dan konflik seperti Haiti dan Yaman tetapi penyakit itu juga telah dilaporkan di negara-negara seperti Lubnan, yang adalah negara berpendapatan sederhana dan situasi itu perlu disedari oleh negara-negara lain. - REUTERS

Berita Harian X