Selasa, 13 Disember 2022 | 3:43pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Bekas juruterbang AS berdepan tuduhan melatih tentera China

SYDNEY: Bekas juruterbang marin Amerika Syarikat (AS), Daniel Duggan, yang ditahan di Australia, dituduh melanggar undang-undang kawalan senjata negara itu dengan melatih juruterbang tentera China.

Dia didakwa memberi latihan untuk operasi kapal pengangkut pesawat, mengikut pendakwaan yang didedahkan oleh mahkamah AS.

Menurut dakwaan pada 2017 itu, Duggan menyediakan latihan ketenteraan kepada juruterbang PRC (Republik Rakyat China)' melalui sekolah penerbangan Afrika Selatan sebanyak tiga kali pada 2010 dan 2012.

Ia menyenaraikan rakan subahat bersama yang tidak didedahkan identitinya termasuk masing-masing seorang warga Afrika Selatan dan seorang warga Britain.

Kedua-duanya adalah eksekutif 'akademi latihan penerbangan berpangkalan di Afrika Selatan dengan kehadiran di PRC' dan seorang warga China yang memperoleh maklumat ketenteraan untuk tentera China.

Britain mengumumkan tindakan keras terhadap bekas juruterbang tenteranya yang bekerja untuk melatih tentera udara China pada minggu yang sama Duggan ditangkap di Australia.

Pada Oktober lalu, polis Australia menahan Duggan di bandar di kawasan pedalaman, Orange, atas permintaan kerajaan AS untuk sementara waktu dengan kemungkinan terdapat permintaan ekstradisi oleh AS.

Peguam Duggan, Dennis Miralis, dari firma guaman Australia, Nyman Gibson Miralis, ketika dihubungi Reuters bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu.

Beliau sebelum ini berkata, Duggan menafikan melanggar mana-mana undang-undang berkaitan.

Mahkamah Daerah Columbia pada Jumaat lalu memfailkan pendakwaan dan waran yang dikeluarkan AS ke atas Duggan.

Dakwaan itu menyebut Duggan didakwa diupah secara kontrak oleh warga China yang tidak dinamakan untuk menyediakan perkhidmatan kepada syarikat milik negara China.

Antara lain termasuk penilaian bagi pelatih juruterbang tentera China, ujian peralatan berkaitan penerbangan tentera laut dan arahan mengenai taktik berkaitan pendaratan pesawat bagi kapal pengangkut pesawat.

Katanya, Duggan tidak mendapat kebenaran kerajaan AS untuk menyediakan latihan ketenteraan kepada China, walaupun Jabatan Negara AS sudah memaklumkannya melalui e-mel pada 2008 bahawa ia diperlukan untuk melatih tentera udara asing.

Pendakwaan itu turut mendedahkan, beliau kerap mengembara antara Australia, AS, China dan Afrika Selatan antara 2009 dan 2012, ketika menjadi warga negara AS dan Australia.

Duggan berpindah ke Australia pada 2002 selepas sedekad berkhidmat dengan Marin AS, kemudian berpindah ke Beijing pada 2014 di mana dia bekerja sebagai perunding penerbangan. - REUTERS

Berita Harian X