Rabu, 16 November 2022 | 5:58pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

1 bilion belia berisiko kehilangan pendengaran akibat fon telinga - WHO

SEKITAR satu bilion orang muda di seluruh dunia mungkin berisiko hilang pendengaran akibat menggunakan fon telinga atau menghadiri tempat yang membuka muzik dengan kuat, menurut tinjauan satu penyelidikan hari ini.

Kajian yang diterajui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru golongan muda supaya lebih berhati-hati mengenai tabiat mendengar mereka dan menggesa kerajaan serta pengeluar untuk berbuat lebih banyak demi melindungi pendengaran mereka pada masa depan.

Analisis yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Global Health memaparkan data daripada 33 kajian yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Russia sejak dua dekad lalu yang membabitkan lebih 19,000 peserta berumur antara 12 hingga 34 tahun.

Dapatannya menunjukkan 24 peratus daripada golongan muda mempunyai amalan mendengar tidak selamat ketika menggunakan fon telinga dengan peranti seperti telefon pintar.

Sebanyak 48 peratus daripada peserta itu didapati telah terdedah kepada tahap bunyi yang tidak selamat di tempat hiburan seperti konsert atau kelab malam.

Kajian sama menganggarkan bahawa antara 670,000 hingga 1.35 bilion orang muda boleh berdepan berisiko hilang pendengaran.

Pakar audiologi di Universiti Perubatan Carolina Selatan yang juga pengarang pertama kajian itu, Lauren Dillard, berkata julat yang luas itu sebahagiannya kerana sesetengah orang muda mungkin berisiko berdepan kedua-dua faktor berkenaan.

Dillard memberitahu AFP, cara terbaik untuk orang ramai mengurangkan risiko hilang pendengaran disebabkan fon telinga dengan memperlahankan suara dan mendengar untuk tempoh yang lebih singkat.

"Malangnya, ramai yang gemar muzik yang sangat kuat," katanya. - AFP

Berita Harian X