Isnin, 14 November 2022 | 8:27am
Sidang kemuncak G20 diadakan di Bali, Indonesia minggu ini. - Foto AFP
Sidang kemuncak G20 diadakan di Bali, Indonesia minggu ini. - Foto AFP

Russia gesa G20 tumpu perhatian kepada 'ancaman sebenar dan bukan ancaman rekaan'

MOSCOW: Russia semalam menggesa G20 supaya berhenti bercakap mengenai keselamatan dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada masalah sosioekonomi yang lebih mendesak menjelang sidang kemuncak yang dijangka akan didominasi oleh kritikan negara Barat terhadap pencerobohan Russia di Ukraine.

G20 - sebuah kumpulan yang menghimpunkan ekonomi terbesar dunia, membentuk lebih 80 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global - akan bertemu di Bali, Indonesia minggu ini.

Malah, pemimpin negara Barat termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) dijangka akan mengambil kesempatan daripada forum berprofil tinggi itu untuk menempelak Russia secara terbuka atas peperangan di Ukraine itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang sidang kemuncak itu, Kementerian Luar Russia menegaskan adalah 'penting pada dasarnya untuk G20 menumpukan perhatian kepada usaha menangani ancaman sebenar dan bukan yang direka semata-mata'.

Ia menambah: "Kami yakin bahawa G20 diadakan untuk menangani masalah sosioekonomi. Memperluaskan agendanya ke bidang seperti keamanan dan keselamatan, sepertimana yang diketengahkan sebilangan negara, adalah tidak berdaya maju. Ini sekali gus akan mencemari mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara langsung dan akan menjejas suasana kepercayaan serta kerjasama dalam G20."

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov bakal memimpin delegasi Russia ke sidang puncak terbabit. Ia sekali gus adalah penyertaan pertama Russia sejak Moscow mencerobohi Ukraine pada Februari lalu.

Difahamkan, Presiden Russia, Vladimir Putin tidak akan menghadiri sidang kemuncak terbabit. - REUTERS

Berita Harian X