BENGALURU: Apple Inc semalam menjangkakan penghantaran iPhone 14 Pro dan iPhone Pro Max lebih rendah daripada dijangkakan sebelum ini susulan sekatan COVID-19 yang mengganggu pengeluaran produk itu secara sementara di kemudahan pemasangannya di Zhengzhou, China.
"Kemudahan itu kini beroperasi pada kapasiti rendah dengan pengurangannya adalah ketara.
"Pelanggan akan berdepan masa menunggu lebih lama untuk menerima produk baharu," kata pengeluar iPhone itu dalam satu kenyataan.
Bulan lalu, Reuters melaporkan pengeluaran iPhone Apple boleh merosot sebanyak 30 peratus di salah satu kilang terbesar dunia bulan depan berikutan sekatan ketat COVID-19 di China.
Kilang utamanya di Zhengzhou, dekat tengah China yang menggaji kira-kira 200,000 orang, kecoh susulan perasaan tidak puas hati terhadap langkah ketat membendung penularan COVID-19, dengan ramai pekerja meninggalkan premis berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, pengeluar iPhone terbesar Apple Inc di Taiwan, Foxconn hari ini memaklumkan sedang berusaha menyambung semula pengeluaran penuh di kilang utamanya di Zhengzhou yang terjejas disebabkan sekatan COVID-19 dan turut menyemak semula prospek suku keempatnya.
Kesan ke atas pengeluaran produk itu berlaku di tengah-tengah waktu puncak pengeluaran produk elektronik itu menjelang musim cuti akhir tahun. - REUTERS