Jumaat, 28 Oktober 2022 | 10:52am
Foto dirakamkan pada Julai 2022 menunjukkan sebuah rumah di pinggir bandar Sydney digenangi banjir selepas hujan lebat. - Foto fail REUTERS
Foto dirakamkan pada Julai 2022 menunjukkan sebuah rumah di pinggir bandar Sydney digenangi banjir selepas hujan lebat. - Foto fail REUTERS

Australia belanja AS$500 juta pindah rumah kawasan banjir

SYDNEY: Australia akan membelanjakan A$800 juta atau AS$516 juta (RM2.4 bilion) bagi membaiki, mengubah suai dan membeli semula rumah di kawasan barat laut di negeri terbesar negara itu apabila wilayah berkenaan pulih daripada banjir ketiga tahun ini.

Usaha pembersihan sedang giat dijalankan di seluruh tenggara Australia ketika paras sungai mulai surut selepas dilanda banjir buat kali ketiga, tahun ini.

Kebanyakan wilayah dijangka akan terus berdepan keadaan basah sehingga musim panas selepas peramal cuaca mengisytiharkan peristiwa La Nina bagi kali ketiga berturut-turut.

Negara itu juga dikatakan memerlukan kaedah baharu untuk menangani banjir.

Perdana Menteri, Anthony Albanese, hari ini, mengumumkan sekitar 2,000 pemilik rumah di New South Wales yang terdedah banjir, layak untuk program itu.

Pemilik rumah di kawasan yang paling berisiko akan layak untuk pembelian balik kerajaan. Manakala yang lain akan ditawarkan sehingga A$100,000 (RM305,384) untuk membina semula atau menyesuaikannya dengan banjir.

"Kita perlu melakukan perancangan dengan lebih baik namun kita tidak boleh melakukan perkara yang sama berulang kali, kerana ia akan memberikan hasil yang serupa," katanya.

Perdana Menteri New South Wales, Dominic Perrottet, akan menggesa perubahan dilakukan kepada undang-undang perancangan bangunan dataran banjir di Australia.

"Kita tahu bahawa bencana dijangka menjadi lebih kerap dan lebih teruk akibat perubahan iklim.

"Sebab itulah kita bekerjasama dengan kerajaan New South Wales untuk membangunkan penyelesaian praktikal bagi melindungi nyawa dan mata pencarian.

"Kelayakan untuk program berkenaan adalah berdasarkan risiko banjir, penilaian harta benda dan risiko kepada keselamatan.

Pakej itu termasuk A$100 juta (RM305 juta) untuk kerajaan negeri membeli tanah di kawasan selamat daripada banjir bagi membolehkan lebih banyak pembangunan. - REUTERS

Berita Harian X