Khamis, 23 Jun 2022 | 5:57pm
Sukarelawan memasukkan hasil segar ke dalam bungkusan makanan di Bradford Central Foodbank, England, pada 24 Mei 2022. - Foto AFP
Sukarelawan memasukkan hasil segar ke dalam bungkusan makanan di Bradford Central Foodbank, England, pada 24 Mei 2022. - Foto AFP

Krisis makanan 'akan bunuh' jutaan penduduk

YOGJAKARTA: Krisis makanan global yang dicetuskan oleh perang di Ukraine dijangka menyebabkan ratusan juta penduduk dunia maut dengan mereka yang kelaparan lebih terdedah kepada penyakit berjangkit.

Pengarah Eksekutif Dana Global untuk Melawan AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, Peter Sands, memberi amaran situasi itu berpotensi mencetuskan malapetaka baharu berhubung kesihatan dunia.

Sekatan tentera laut Russia di pelabuhan Laut Hitam di Ukraine telah mengakibatkan terhentinya penghantaran bijirin daripada pengeksport gandum dan jagung keempat terbesar di dunia, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan dan meningkatkan kes kelaparan di negara berpendapatan rendah.

Sands berkata, kekurangan makanan yang dihadapi ketika ini secara tidak langsung mengakibatkan lebih ramai yang meninggal dunia bukan sahaja kerana kelaparan tetapi disebabkan pertahanan badan yang rendah terhadap penyakit berjangkit akibat pengambilan makanan tidak berzat.

"Saya berpandangan kita mungkin sudah mula berdepan krisis kesihatan seterusnya. Ia bukan patogen baharu tetapi ia bermakna orang yang kurang zat makanan akan lebih terdedah kepada penyakit sedia ada.

"Saya fikir kesan gabungan penyakit berjangkit dan kekurangan makanan serta krisis tenaga... kita boleh menjangkakan berjuta-juta kematian tambahan kerana faktor ini," katanya dalam satu temu bual, di sini.

Jelasnya lagi, usaha untuk membendung penularan COVID-19 telah merencatkan langkah menangani penyakit lain seperti tibi.

Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 1.5 juta penduduk dunia maut pada 2020 akibat penyakit tibi.

"Ia telah menjadi bencana untuk pesakit tibi. Pada 2020 anda melihat di seluruh dunia, 1.5 juta orang kurang mendapat rawatan untuk tibi dan secara tragisnya, ini bermakna beberapa ratus ribu pesakit akan mati, bahkan mungkin akan menjangkiti orang lain," katanya.

Sementara itu, bekas jurubank Britain itu berkata, kerajaan dunia harus meminimumkan kesan krisis makanan dengan menyediakan penjagaan kesihatan kepada komuniti termiskin, mengambil kira mereka lebih terdedah kepada krisis berkenaan.

"Ini bermakna memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan primer supaya ia sampai ke kawasan perkampungan dan dalam komuniti. Hospital penting tetapi apabila anda berdepan dengan cabaran seperti ini, perkara yang paling penting ialah penjagaan kesihatan primer," katanya. - AFP

Berita Harian X