Khamis, 9 Jun 2022 | 8:06am
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto REUTERS

Wabak cacar monyet sudah melebihi 1,000 kes - WHO

LONDON: Terdapat lebih 1,000 kes cacar monyet dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara lain di mana Afrika menjadi negara penularan berlaku.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata risiko cacar monyet di negara bukan endemik adalah nyata, tetapi boleh dicegah pada ketika ini.

Katanya, 29 negara telah melaporkan kes wabak terbaharu yang bermula pada bulan Mei lalu, namun tiada kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, pada taklimat media di Geneva, Tedros berkata terdapat lebih 1,400 kes disyaki cacar monyet tahun ini di Afrika dan 66 kematian.

"Ia adalah gambaran malang dunia bahawa masyarakat antarabangsa kini hanya memberi perhatian kepada cacar monyet kerana ia telah muncul di negara berpendapatan tinggi," katanya.

Jelasnya, wabak itu menunjukkan tanda penularan komuniti di beberapa negara dan WHO mengesyorkan orang yang menghidap cacar monyet diasingkan di rumah.

Sementara itu, ketua teknikal WHO, Dr Rosamund Lewis, berkata 'hubungan antara individu' ialah cara utama cacar monyet merebak, walaupun risiko penghantaran aerosol belum diketahui sepenuhnya.

"Pekerja kesihatan yang menjaga pesakit cacar monyet harus memakai pelitup muka," katanya.

Menurut WHO, kebanyakan kes dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, bagaimanapun kes terhadap wanita juga turut dilaporkan.

Selain itu, pemvaksinan kepada golongan sasaran dalam tempoh empat hari pendedahan boleh dipertimbangkan untuk sesetengah negara.

Pegawai kanan WHO, Sylvie Briand, berkata agensi itu sedang menilai potensi vaksin yang disimpan untuk melawan cacar dan menghubungi pengeluar serta negara yang sebelum ini telah menjanjikan vaksin.

Malah, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang bekerjasama dengan organisasi termasuk UNAids dan kumpulan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan menghentikan penularan. - REUTERS

Berita Harian X