NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya satu kematian direkodkan susulan peningkatan kes hepatitis akut yang tidak diketahui asalnya pada kanak-kanak.
WHO turut memaklumkan sekurang-kurangnya 169 kes sama dilaporkan dalam kanak-kanak di 12 negara, dengan 114 daripadanya sahaja dilaporkan di United Kingdom (UK) .
Angka itu dikeluarkan ketika pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia menyiasat peningkatan misteri dalam kes hepatitis yang teruk - keradangan hati - pada kanak-kanak kecil.
Selain ini, WHO melaporkan sehingga 21 April lalu, kes akut hepatitis yang tidak diketahui asalnya turut dilaporkan di Amerika Syarikat (AS), Sepanyol, Israel, Denmark, Ireland, Belanda, Itali, Norway, Perancis, Romania dan Belgium.
Berdasarkan laporan, semua kes itu dilaporkan berlaku pada kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 16 tahun, dengan 17 memerlukan pemindahan hati.
WHO bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai kematian dikatakan dilaporkan, termasuk di mana ia berlaku.
Namun, katanya, virus selsema biasa dikenali adenovirus dikesan dalam sekurang-kurangnya 74 kes.
Jangkitan COVID-19 dikenal pasti dalam 20 daripada mereka yang diuji dan 19 kes dikesan mendapat jangkitan bersama COVID-19 dan adenovirus.
WHO turut menyatakan pihaknya kini memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan Britain, negara anggota dan rakan kongsi lain.
Pegawai kesihatan AS turut mengeluarkan amaran kepada doktor di seluruh negara supaya berwaspada terhadap gejala hepatitis kanak-kanak, yang mungkin dikaitkan dengan virus selsema, sebagai sebahagian siasatan lebih luas terhadap kes keradangan hati teruk yang tidak dapat dijelaskan pada kanak-kanak kecil. - REUTERS