SYDNEY: Hujan lebat berterusan mencetuskan keresahan penduduk di beberapa pinggir bandar Sydney diarahkan dipindahkan.
Pihak berkuasa bimbang paras sungai meningkat, yang dikhuatiri boleh menenggelamkan kawasan kediaman dan jalan raya dalam perkembangan terkini banjir timur Australia itu.
Penduduk di beberapa pinggir bandar di selatan dan barat daya Sydney diberitahu untuk meninggalkan kediaman sebagai langkah berjaga-jaga jika arus deras sungai meningkat.
"Arus sungai dilihat meningkat dengan laju hingga mencetuskan banjir kilat yang ketara di sekitar Illawarra.
"Kami meminta orang ramai terus berwaspada. Ini adalah keadaan yang sangat dinamik, banjir bergerak dengan sangat pantas," kata Timbalan Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Daniel Austin.
Rakaman gambar yang diambil sekitar Sydney memperlihatkan banyak jalan dan kereta ditenggelami air dan arus deras menghanyutkan banyak objek ke sungai.
Penduduk Woronora, Belinda, memberitahu stesen penyiaran kebangsaan ABC, bahawa sungai itu mengalir lebih deras daripada yang pernah dilihatnya.
"Saya berasa risau melihat keadaan itu, mujur aras kediaman kami agak tinggi tetapi bagi rumah yang berada pada kedudukan rendah, ia cukup membimbangkan," katanya.
Amaran banjir besar sudah dikeluarkan terhadap beberapa pinggir bandar di selatan Sydney manakala seluruh bandar berpenduduk lima juta itu diberi amaran mengenai kemungkinan banjir kilat menjelang hujung minggu.
Perkhidmatan kecemasan NSW berkata pihaknya menerima lebih 680 panggilan meminta diberi pertolongan daripada mangsa yang terjejas akibat cuaca setakat ini.
Banjir itu adalah yang terbaru melanda rantau ini dan berlaku kurang seminggu selepas ombak besar membadai pantai hingga menenggelamkan seluruh pantai termasuk pantai berpasir terkenal, Bondi.
Sebahagian besar pantai timur Australia dilanda hujan lebat sejak berbulan-bulan lalu.
Penduduk di kawasan paling teruk dilanda banjir masih dalam proses pemulihan daripada banjir yang melanda pada bulan lalu.
Cuaca ekstrem yang dipengaruhi fenomena cuaca La Nina bertambah buruk disebabkan perubahan iklim hingga ia menimbulkan persoalan tahap kesediaan Australia menghadapi bencana. - AFP