Ahad, 6 March 2022 | 10:13am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kiri) memaklumkan beliau berhubung melalui telefon bersama rakan sejawatnya di Amerika Syarikat, Joe Biden hari ini. - Foto AFP
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky (kiri) memaklumkan beliau berhubung melalui telefon bersama rakan sejawatnya di Amerika Syarikat, Joe Biden hari ini. - Foto AFP

Zelensky-Biden bincang isu pencerobohan Russia di Ukraine

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memaklumkan beliau berhubung melalui telefon bersama rakan sejawatnya di Amerika Syarikat (AS), Joe Biden hari ini untuk membincangkan sokongan kewangan dan sekatan terhadap Russia ketika negaranya menghadapi serangan yang semakin sengit.

"Sebagai sebahagian daripada dialog berterusan, saya sekali lagi berbicara bersama @POTUS," demikian ciapan Zelensky melalui Twitter.

"Agenda itu termasuk isu keselamatan, sokongan kewangan untuk Ukraine dan penerusan sekatan terhadap Russia," katanya lagi.

Beberapa jam sebelum itu, pemimpin Ukraine itu bercakap dengan penggubal undang-undang AS melalui panggilan video, memohon bantuan lanjut untuk negaranya yang terkepung serta penyenaraian hitam import minyak Russia.

Penggubal undang-undang AS menjanjikan pakej bantuan tambahan AS$10 bilion (RM41.78 bilion), tetapi Rumah Putih setakat ini menolak larangan minyak, bimbang ia akan menaikkan harga dan merugikan pengguna AS yang sudah terpengaruh dengan rekod inflasi.

Senjata, peluru dan dana mengalir ke Ukraine daripada sekutu Barat, yang juga mengenakan sekatan menyeluruh ketika mereka berusaha menyokong Kyiv menentang pencerobohan Moscow, yang bermula 24 Februari.

Washington minggu lalu membenarkan AS$350 juta (RM1.46 bilion) peralatan ketenteraan - pakej terbesar dalam sejarah AS.

Semasa melawat pelarian Ukraine di sempadan Poland hujung minggu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata bahawa Washington sedang mencari AS$2.75 bilion (RM11.49 bilion) untuk membantu menangani krisis kemanusiaan yang melanda apabila hampir 1.4 juta orang awam melarikan diri. - AFP

Berita Harian X