Isnin, 28 Februari 2022 | 8:54am
Petugas Pasukan Keselamatan Awam Ukraine menjelaskan perincian senapang a Kalashnikov kepada sukarelawan di Zhytomyr, Ukraine, semalam. - Foto REUTERS
Petugas Pasukan Keselamatan Awam Ukraine menjelaskan perincian senapang a Kalashnikov kepada sukarelawan di Zhytomyr, Ukraine, semalam. - Foto REUTERS
Tentera Ukraine di Severodonetsk, Wilayah Donetsk, semalam. - Foto AFP
Tentera Ukraine di Severodonetsk, Wilayah Donetsk, semalam. - Foto AFP
Pesawat Russia dalam wilayah Rostov, 70 km dari sempadan Ukraine dan Republik Rakyat Donetsk, semalam. - Foto AFP
Pesawat Russia dalam wilayah Rostov, 70 km dari sempadan Ukraine dan Republik Rakyat Donetsk, semalam. - Foto AFP

Eropah bekal senjata ke Ukraine

PARIS: Banyak negara termasuk Sweden yang berkecuali, mula menghantar tentera serta bantuan kemanusiaan ke Ukraine, sejak pencerobohan Russia pada Khamis lalu.

Amerika Syarikat (AS), Kanada dan 19 negara Eropah ketika ini sudah bertindak terhadap rayuan Ukraine, bagi mendapat bantuan peralatan tentera.

Sabtu lalu, Washington mengatakan sudah menghantar bantuan ketenteraan tambahan berjumlah AS$350 juta (RM1.47 bilion) kepada Kyiv, sekali gus menjadikan jumlah sokongannya kepada lebih satu bilion dolar sepanjang tahun lalu.

"Penghantaran ini termasuk bantuan pertahanan membunuh musuh bagi membantu Ukraine menghadapi serangan perisai, udara dan lain-lain yang sedang dihadapinya," kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Semalam, Blinken mengumumkan AS$54 juta (RM226.8 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan baharu untuk dibelanjakan melalui badan bukan kerajaan (NGO).

Kanada pula menghantar senjata ketenteraan berbahaya ke Ukraine dan meminjamkan Kyiv setengah bilion dolar Kanada (AS$394 juta) untuk membantunya mempertahan diri.

Berlin melanggar pantang sekian lamanya untuk tidak mengeksport senjata ke zon konflik menerusi ikrar, membekalkan Ukraine 1,000 senjata antikereta kebal, 500 roket darat ke udara Stinger dan sembilan howitzer.

Jerman juga menyumbangkan 14 kenderaan perisai dan 10,000 tan bahan api.

Stockholm juga melanggar pendirian tidak berpihak (neutral) dengan menghantar 5,000 roket antikereta kebal ke Ukraine serta peralatan perang lain.

Ini kali pertama Sweden menghantar senjata ke negara dalam konflik bersenjata, sejak Kesatuan Soviet menyerang negara jiran Finland pada 1939.

Perancis yang sebelum ini menghantar bantuan, menghantar lebih banyak peralatan ketenteraan serta bahan api.

Paris berkata, mereka bertindak atas permintaan Ukraine sebelum ini, untuk pertahanan antipesawat dan senjata digital.

Belgium pula mengatakan pihaknya akan membekalkan Ukraine dengan 3,000 lagi senapang automatik dan 200 senjata antikereta kebal serta 3,800 tan bahan api.

Kementerian Pertahanan Belanda, berkata negaranya menghantar 200 pelancar roket Stinger, selepas menghantar senapang sniper dan topi keselamatan.

Ia memberi tambahan 20 juta euro (AS$ 22 juta atau RM92.4 juta) bantuan kemanusiaan yang sudah dijanjikan.

Prague pula akan menghantar 4,000 bom mortar serta 30,000 pistol, 7,000 senapang, 3,000 mesingan serta sejumlah raifal penembak tepat dan sejuta peluru.

Republik Czech pula berjanji membekalkan Kyiv 4,000 bom mortar bernilai 1.5 juta euro atau AS$1.6 juta (RM6.72 juta) yang belum dihantar.

Rom pula menghantar 110 juta euro (AS$123 juta atau RM516.6 juta) sebagai bantuan segera kepada kerajaan Ukraine seperti dimaklumkan Menteri Luarnya Luigi Di Maio menerusi twitter.

Portugal memberikan Ukraine peralatan cermin mata malam, jaket kalis peluru, topi keledar, bom tangan, peluru dan senapang automatik G3.

Greece yang mempunyai rakyat di Ukraine menghantar peralatan pertahanan serta bantuan kemanusiaan.

Bucharest yang berkongsi sempadan dengan Ukraine pula menawarkan untuk merawat mangsa yang cedera di 11 hospital tenteranya serta menghantar bahan api, jaket kalis peluru, topi keledar dan peralatan ketenteraan lain yang bernilai tiga juta euro (AS$3.3 juta atau RM13.86 juta).

Madrid turut berjanji untuk menghantar 20 tan bantuan ke Ukraine, kebanyakannya peralatan perubatan dan pertahanan seperti jaket kalis peluru.

Israel berkata, pihaknya akan menghantar 100 tan bantuan kemanusiaan seperti peralatan perubatan, penapis air, khemah dan beg tidur. - AFP

Kenderaan tentera dimasukkan ke dalam pesawat Antonov milik Ukraine di Gardermoen, Norway bagi membantu pasukan NATO. - Foto AFP
Kenderaan tentera dimasukkan ke dalam pesawat Antonov milik Ukraine di Gardermoen, Norway bagi membantu pasukan NATO. - Foto AFP

Berita Harian X