Ahad, 13 Februari 2022 | 6:12pm
Ribuan penunjuk perasaan berarak ke bangunan Parlimen di Canberra, Australia membantah mandat vaksin COVID-19. - Foto AFP
Ribuan penunjuk perasaan berarak ke bangunan Parlimen di Canberra, Australia membantah mandat vaksin COVID-19. - Foto AFP

Penunjuk perasaan digesa beredar dari Canberra

CANBERRA: Polis Australia memberi amaran kepada ribuan penunjuk perasaan menentang mandat vaksin COVID-19 supaya meninggalkan kawasan perhimpunan hari ini.

Menurut jurucakap polis Australian Capital Territory (ACT), beribu penunjuk perasaan masih kekal berada di Canberra manakala kurang daripada 100 penunjuk perasaan berkumpul berhampiran bangunan Parlimen Persekutuan.

Bagaimanapun, tiada penunjuk perasaan di Canberra ditangkap hari ini selepas tiga orang ditahan, semalam.

"Mereka mesti beredar dari sini," kata jurucakap polis yang enggan menyatakan tindakan pihak berkuasa jika penunjuk perasaan masih tidak mematuhi tuntutan supaya beredar.

Sementara itu, di Wellington, New Zealand, penunjuk perasaan yang membantah mandat COVID-19 berkumpul untuk hari keenam, walaupun hujan lebat dan angin kencang melanda bandar itu.

Diilhamkan oleh perhimpunan pemandu trak di Kanada, paparan media sosial menunjukkan peserta protes menyekat jalan Wellington di luar bangunan Parlimen bandar itu dengan khemah, trak dan van.

Perkhidmatan polis Ottawa, yang sebelum ini dikritik kerana tidak bertindak tegas dengan penunjuk perasaan, mula mengawal mereka yang berkumpul di persimpangan sempadan antara Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Protes berkenaan tetap berlangsung walaupun amaran baharu dikeluarkan untuk menamatkan sekatan yang mengganggu rantaian bekalan barangan antara kedua-dua negara

Pihak berkuasa memainkan lagu melalui pembesar suara dalam usaha menyuraikan peserta demonstrasi, ketika keadaan cuaca masih tidak menentu susulan kesan peringkat akhir puting beliung tropika.

Australia mencatatkan 22,750 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu manakala jumlah kes baharu di New Zealand hampir dua kali ganda berbanding rekod harian 810 kes. - REUTERS

Berita Harian X