SYDNEY: Lebih 10,000 penunjuk perasaan berarak di Canberra menuju ke bangunan Parlimen sebagai tanda bantahan terhadap mandat terbaru vaksin COVID-19.
Semua penunjuk perasaan termasuk kanak-kanak, berhimpun sambil memegang sepanduk tertera 'Perjuangkan Kebebasan & Hak Anda', 'Bebaskan Australia Sekarang' dan 'Tiada dadah paksa' yang ditulis di atas simbol picagari.
Menurut jurucakap polis, semua penunjuk perasaan berkelakuan baik, namun tiga orang ditahan termasuk seorang lelaki yang memandu trak merempuh sekatan jalan raya dan dua lagi ditahan kerana menggugat keamanan.
Kira-kira 94 peratus penduduk Australia berusia lebih 16 tahun sudah mendapat sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19, kebanyakannya diambil oleh mereka yang bekerja di barisan hadapan dan sesiapa yang ingin memasuki negara ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Scott Morrison, meminta penunjuk perasaan mengadakan protes secara aman dan memahami kebimbangan mereka tetapi menegaskan keperluan vaksin tidak boleh dielakkan.
"Mesej saya kepada mereka ialah Australia adalah negara bebas dan mereka mempunyai hak untuk membantah tapi saya meminta mereka berbuat demikian secara aman.
"Mereka yang membantah hari ini bercakap untuk perkara yang mereka rasa begitu terkesan," katanya.
Protes tercetus susulan keputusan Kabinet kelmarin mensyaratkan penduduk Australia perlu mendapatkan suntikan dos penggalak untuk mendapat status vaksinasi lengkap COVID-19.
Morrison berkata status vaksinasi seseorang dianggap 'tamat tempoh tempoh' jika mereka tidak menerima dos penggalak dalam tempoh enam bulan daripada tarikh suntikan dos kedua.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan persekutuan hanya menyokong mandat itu yang berkaitan dengan pekerja penjagaan warga emas, pekerja hilang upaya dan mereka yang bekerja dalam keadaan kesihatan berisiko tinggi.
"Semua mandat lain yang berkaitan dengan vaksin dikenakan secara unilateral oleh kerajaan negeri dan saya faham kebimbangan mereka mengenai isu ini," katanya.
Perhimpunan mandat anti-vaksin juga berlaku di luar parlimen New Zealand di Wellington, di mana penunjuk perasaan dan polis bersemuka antara satu sama lain tanpa sebarang pertempuran.
Walaupun protes kebanyakannya aman, polis New Zealand menahan 122 orang dan menggunakan semburan lada untuk meredakan pergelutan dalam menangani demonstrasi.
Tumpuan dunia juga terarah kepada protes pemandu trak di Ottawa, Kanada yang menutup jambatan utama menghubungkan negara itu dengan Amerika Syarikat (AS), tanpa mempedulikan perintah mahkamah semalam mengarahkan mereka bersurai.
Di Perancis, ribuan orang dilihat memandu ke Paris semalam dengan tujuan menghalang semua laluan utama ke ibu negara sebagai bantahan terhadap peraturan vaksinasi COVID-19. - AFP