Rabu, 29 Disember 2021 | 3:36pm
WHO memberi amaran bahawa varian Omicron mengundang risiko paling tinggi dan berupaya meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih menular. - Foto AGENSI
WHO memberi amaran bahawa varian Omicron mengundang risiko paling tinggi dan berupaya meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih menular. - Foto AGENSI

WHO beri amaran Omicron berisiko tinggi

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Omicron mengundang risiko paling tinggi dan berupaya meruntuhkan sistem penjagaan kesihatan kerana ia lebih menular.

Kesannya boleh dilihat apabila kemunculan varian baharu COVID-19 itu mendorong peningkatan angka kes di kebanyakan negara.

Angka kes meningkatkan 11 peratus seluruh dunia minggu lalu, sehingga memaksa kerajaan dari China sehingga ke Jerman dan Perancis sukar mencari keseimbangan antara mengenakan sekatan antivirus serta teruskan membuka ekonomi dan kehidupan masyarakat.

Belanda dan Switzerland berkata, Omicron menjadi strain dominan di kedua-dua negara itu.

Terdapat kajian yang mengesyorkan varian baharu COVID-19 itu hanya mengakibatkan kesan lebih sederhana. Namun, WHO tetap meminta semua pihak berwaspada.

"Keseluruhan risiko berkaitan dengan varian membimbangkan (VOC) baharu, Omicron kekal paling tinggi.

"Bukti konsisten menunjukkan varian Omicron mengatasi kelebihan berbanding varian Delta dengan dua kali ganda masa dua hingga tiga hari," kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kemas kini mingguan epidemiologi COVID-19.

Menurut WHO, data awal dari Britain, Afrika Selatan dan Denmark yang ketika ini merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dunia merangkumi seorang individu, mencadangkan terdapat pengurangan risiko dimasukkan ke hospital bagi pesakit dijangkiti Omicron berbanding Delta.

Tambah WHO, data lanjut amat diperlukan untuk memahami tahap teruk yang diakibatkan Omicron.

Pengurus Insiden COVID-19 WHO Eropah, Catherine Smallwood, memberi amaran penularan pantas Omicron masih dianggap punca banyak kes positif dimasukkan ke hospital, khususnya dalam kalangan individu tidak divaksin sehinggakan ia boleh mengakibatkan keruntuhan lebih luas sistem kesihatan serta perkhidmatan kritikal lain.

Eropah antara titik panas pandemik. Data menunjukkan lebih 5.4 juta nyawa diragut COVID-19 seluruh dunia.

Perancis, Britain, Greece dan Portugal, kesemua negara itu mencatatkan rekod angka kes semalam. Perancis merekodkan hampir 180,000 kes positif dalam tempoh 24 jam lalu.

Berikutan itu, banyak negara mengenakan kembali langkah untuk membendung penularan COVID-19, sehinggakan situasi itu membebankan sektor ekonomi dan sosial seperti di Jerman, apabila kerajaan menutup kelab malam selain mengarahkan pertandingan sukan dianjurkan secara tertutup. - AFP

Berita Harian X