Selasa, 21 Disember 2021 | 9:00pm
Dataran Dam di Amsterdam lengang selepas Belanda mengenakan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP
Dataran Dam di Amsterdam lengang selepas Belanda mengenakan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP

AS tambah RM2.4 bilion bantuan COVID-19

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan memberikan bantuan tambahan berjumlah AS$580 juta (RM2.4 bilion) kepada pertubuhan antarabangsa untuk memerangi COVID-19, khususnya bagi menangani peningkatan kes Omicron, kata Setiausaha Negara, Antony Blinken, hari ini.

"Penularan pesat varian Omicron menguatkan lagi usaha kita untuk menamatkan wabak ini. Tiada seorang pun daripada kita akan selamat sehingga kita semua selamat.

"Dunia berada pada saat kritikal dalam tindak balas global terhadap virus ini," katanya dalam kenyataan.

Blinken berkata, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan menteri luar beberapa negara hari ini, untuk menyelaras bantuan antarabangsa terhadap varian baharu itu, yang sudah menjadi dominan di AS.

"Saya menyeru rakan sejawatan saya untuk memenuhi dan mengukuhkan komitmen mereka dalam memerangi wabak ini. Kita mesti bekerjasama dan bertindak cepat," katanya.

Dana bantuan tambahan yang disalur kepada tujuh agensi pelbagai hala itu, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan AS di seluruh dunia sebanyak AS$19.6 bilion (RM82.7 bilion), menurut Jabatan Negara.

Blinken berkata, sebagai tambahan kepada 330 juta vaksin yang sudah diberi Washington di seluruh dunia, bantuan AS$580 juta (RM2.4 bilion) juga sumbangan bagi mengukuhkan kapasiti kesihatan awam, menyokong masyarakat memerlukan dan menyediakan bantuan segera untuk menyelamatkan nyawa.

Sebanyak AS$280 juta (RM1.1 bilion) daripada dana tambahan itu akan disalur kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula akan menerima AS$170 juta (RM717 juta) dalam usahanya membantu penduduk untuk segera divaksin. - AFP

Penduduk menghias lampu Krismas di Montevista, pinggir bandar Cape Town. Afrika Selatan mengenakan beberapa langkah menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP
Penduduk menghias lampu Krismas di Montevista, pinggir bandar Cape Town. Afrika Selatan mengenakan beberapa langkah menghalang penularan COVID-19. - Foto AFP

Berita Harian X