Khamis, 16 Disember 2021 | 3:19pm
Jemaah mengerjakan tawaf di Masjidilharam, Makkah. - Foto AFP
Jemaah mengerjakan tawaf di Masjidilharam, Makkah. - Foto AFP

Jemaah asing berusia 12 tahun ke atas dibenar tunai umrah

RIYADH: Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara, yang berusia 12 tahun ke atas, untuk menunaikan umrah.

Perkara itu diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menambah peraturan terdahulu yang hanya membenarkan individu berusia 18 tahun menunaikan umrah.

Di bawah peraturan baharu, semua penduduk di Arab Saudi serta rakyat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan jemaah asing yang berusia 12 tahun dan ke atas perlu mendapatkan permit untuk menunaikan umrah, solat di Masjidilharam, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Lapor Khaleej Times yang memetik Saudi Gazette, menyatakan rakyat GCC perlu mendaftarkan bukti vaksinasi mereka di platform Muqeem sebelum tiba di Arab Saudi serta mendaftar di aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna selepas berada di negara ini.

Sebaik sahaja status kesihatan mereka dikemaskini di aplikasi Tawakkalna, mereka dibenarkan menunaikan umrah dan solat di masjid utama berkenaan.

Jemaah yang tiba dari pelbagai negara juga perlu mematuhi prosedur sama, namun perlu menunjukkan bukti vaksinasi di platform Qudoom.

Syarikat umrah akan mengeluarkan permit yang diperlukan bagi jemaah asing yang menggunakan visa umrah.

Walaupun penjarakan fizikal sudah dimansuhkan, namun jemaah perlu memakai pelitup muka dan membuat tempahan terlebih dulu sebelum solat dan menunaikan umrah. - AGENSI

Berita Harian X