Rabu, 15 Disember 2021 | 6:40pm
Pemandu melalui pos kawalan sempadan Queensland dan New South Wales di Australia, selepas penamatan perintah sekatan lebih 140 hari bagi mengekang penularan coronavirus. - Foto EPA
Pemandu melalui pos kawalan sempadan Queensland dan New South Wales di Australia, selepas penamatan perintah sekatan lebih 140 hari bagi mengekang penularan coronavirus. - Foto EPA

New South Wales catat jangkitan harian COVID-19 tertinggi

SYDNEY: Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales (NSW), mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi COVID-19 dalam tempoh lebih dua bulan.

Ia direkodkan ketika pihak berkuasa berusaha memerangi varian Omicron yang pantas menular, namun NSW kini masih meneruskan persiapan untuk menarik semula hampir kesemua sekatan.

Negeri itu merekodkan 804 jangkitan virus baru dalam masa 24 jam sehingga 8 malam kelmarin, peningkatan 50 peratus berbanding hari sebelumnya, menurut satu kenyataan semalam.

Dalam usaha mengekang penularan Omicron, kerajaan Australia memutuskan untuk mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan dos vaksin penggalak COVID-19 susulan peningkatan kes varian itu.

Sebelum ini, kerajaan menyatakan ia akan menawarkan suntikan penggalak buat setiap orang berusia lebih 18 tahun selepas enam bulan mereka menerima vaksin dos kedua.

Namun, dengan pertambahan kes varian Omicron, Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt, berkata sela masa akan dipendekkan kepada lima bulan selepas dos suntikan kedua.

"Langkah mengurangkan sela masa bermakna sekitar 1.5 juta orang layak menerima suntikan penggalak mulai Ahad lalu.

"Suntikan penggalak, lima bulan atau lebih selepas suntikan kedua, memastikan perlindungan suntikan asas akan lebih kuat lagi dan lebih berdaya tahan, sekali gus membantu mengekang penularan virus.

"Data dari Israel menunjukkan suntikan penggalak mengurangkan kadar jangkitan dalam kumpulan usia yang layak, penyakit teruk bagi golongan berusia lebih 40 tahun dan kematian dalam kalangan mereka berusia melebihi 60 tahun," katanya, yang dipetik akhbar Herald Sun.

Australia akan menggunakan kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna dalam program suntikan penggalak.

Negara itu adalah antara negara berpenduduk paling ramai divaksin, dengan sekitar 90 peratus orang melebihi 16 tahun sudah lengkap divaksin. - AGENSI

Berita Harian X