Sabtu, 4 Disember 2021 | 7:23am
Orang ramai berbaris untuk menerima dos penggalak COVID-19 secara percuma di Washington, DC, AS. - Foto AFP
Orang ramai berbaris untuk menerima dos penggalak COVID-19 secara percuma di Washington, DC, AS. - Foto AFP

Tiada kematian akibat Omicron setakat ini

GENEVA: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, varian baharu COVID-19 boleh memperlahan pemulihan ekonomi global seperti yang berlaku terhadap varian Delta, menurut Ketuanya, Kristalina Georgieva.

"Sebelum kehadiran varian baharu ini, kami juga bimbang mengenai pemulihan itu, apabila ia berterusan akan kehilangan momentumnya.

"Varian baharu yang mungkin merebak dengan sangat pantas boleh menjejaskan keyakinan pemulihan," katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, varian Omicron sudah dikesan di 38 negara namun belum ada kematian dilaporkan.

Pada masa sama, kerajaan seluruh dunia bergegas menyekat penularan itu yang mampu merencatkan pemulihan ekonomi dunia.

Negera seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia menjadi negara baharu yang mengesahkan jangkitan tempatan dan penularan Omicron di Afrika Selatan juga melepasi sejumlah tiga juta kes.

WHO juga menyatakan, sekurang-kurangnya tiga minggu diperlukan untuk mengesan bagaimana jangkitan varian itu, sama ada ia boleh mengakibatkan jangkitan serius dan bagaimana rawatan yang sesuai serta vaksin untuk menentang jangkitan.

"Kami akan mendapatkan penyelesaian yang semua orang mahukan," kata Pengarah Kecemasannya, Dr Michael Ryan.

Semalam WHO berkata, tiada lagi kematian membabitkan Omicron tetapi amaran dikeluarkan menyatakan jangkitan ke COVID-19 di Eropah meningkat kepada hampir separuh kes pada bulan hadapan.

Kajian awal oleh sainstis di Afrika Selatan mendapati, varian itu pertama kali dilaporkan pada 24 November dan dianggarkan tiga kali lebih mudah berjangkit, berbanding strain Delta atau Beta.

Ketua Palang Merah, Francesca Rocca turut berkata, kemunculan Omicron ialah bukti muktamad kadar pelalian global berjalan secara tidak sama rata.

Doktor Afrika Selatan juga menyatakan, peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun yang dimasukkan di hospital, sejak kemunculan Omicron tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan risiko terhadap anak kecil.

"Kes membabitkan kanak-kanak di bawah lima tahun yang kedua tertinggi, di belakang kes lebih 60 tahun ke atas," kata Wassila Jassat dari Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Di AS, dua kes membabitkan penduduk yang tidak mempunyai sejarah perjalanan antara bangsa, menunjukkan Omicron sudah berlegar di dalam negara itu. - AFP

Penduduk sekitar Hammersmith dan Fulham di Greater London menunggu giliran untuk suntikan dos ketiga pelalian COVID-19. - Foto AFP
Penduduk sekitar Hammersmith dan Fulham di Greater London menunggu giliran untuk suntikan dos ketiga pelalian COVID-19. - Foto AFP

Berita Harian X