Selasa, 30 November 2021 | 6:49pm
Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel. - Foto AFP
Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel. - Foto AFP

Vaksin sedia ada mungkin tidak berkesan melawan Omicron - Moderna

HONG KONG: Vaksin COVID-19 sedia ada mungkin tidak dapat melawan varian baharu Omicron dan suntikan baharu mengambil masa berbulan-bulan untuk dibangunkan, kata Ketua Pengeluar Vaksin Amerika Syarikat (AS), Moderna kepada Financial Times.

Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel, berkata data berhubung keberkesanan vaksin semasa terhadap varian baharu itu hanya akan diketahui dalam dua minggu lagi tetapi saintis tidak optimis mengenainya.

"Kesemua saintis yang ditemui... seperti menyatakan 'ia tidak akan menjadi baik'," katanya kepada akhbar itu.

Amaran Bancel itu dibuat ketika Menteri Kesihatan G7 mengadakan perbincangan tergempar mengenai varian baharu itu, yang kini menular ke seluruh dunia menyebabkan banyak negara menutup kembali sempadan mereka dan mengenakan sekatan perjalanan baharu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian baharu Omicron berisiko 'sangat tinggi'.

Bancel berkata, penyelidik bimbang kerana 32 daripada 50 mutasi yang ditemui dalam varian Omicron adalah pada pepaku protein sebahagian daripada virus yang digunakan oleh vaksin untuk meningkatkan sistem imunisasi terhadap COVID-19.

Beliau berkata, kemungkinan berlaku 'penurunan material' dalam keberkesanan vaksin semasa terhadap Omicron.

Moderna katanya kini sedang membangunkan vaksin khusus untuk varian Omicron, begitu juga dengan pengeluar vaksin yang lain seperti Pfizer. - AFP

Berita Harian X