Isnin, 29 November 2021 | 7:11am
WHO sedang menjalankan kajian untuk memastikan sama ada ujian selain RT-PCR dapat mengesan jangkitan varian Omicron yang tergolong sebagai varian membimbangkan (VOC). - Foto AGENSI
WHO sedang menjalankan kajian untuk memastikan sama ada ujian selain RT-PCR dapat mengesan jangkitan varian Omicron yang tergolong sebagai varian membimbangkan (VOC). - Foto AGENSI

WHO kaji ujian selain RT-PCR boleh kesan Omicron

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menjalankan kajian untuk memastikan sama ada ujian selain RT-PCR dapat mengesan jangkitan varian Omicron yang tergolong sebagai varian membimbangkan (VOC).

"Ujian RT-PCR yang digunakan secara meluas terus digunakan untuk mengesan jangkitan termasuk penularan Omicron seperti mana varian lain," kata WHO dalam perkembangan mengenai varian baharu itu setakat ini.

"Kajian masih berlangsung untuk menentukan sama ada terdapat kesan lain terhadap jenis ujian lain, termasuk ujian pengesanan pantas," tambahnya.

Kelmarin, WHO mengisytiharkan penemuan varian Omicron yang pertama kali dikesan pada awal bulan ini di Afrika Selatan yang diklasifikasikan sebagai VOC.

Dengan klasifikasi itu, ia meletakkan Omicron dalam kategori varian COVID-19 paling berbahaya bersama-sama dengan Delta, disusuli varian terlemah seperti Alpha, Beta dan Gamma.

Omicron mula dikesan tersebar di seluruh dunia semalam, menyaksikan sempadan negara terpaksa ditutup dan sekatan baharu perlu diperkenalkan semula.

Ketua Kesatuan Eropah (EU) berkata, kerajaan berdepan 'perlumbaan masa' yang menjadi kekangan untuk memahami strain baharu itu.

Dengan kemunculan varian itu, ia dijangka akan menjadikan usaha global untuk memerangi pandemik itu agak sukar, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadapnya kerana ia ternyata lebih menular.

Situasi itu memaksa banyak negara mengenakan kembali sekatan yang diharapkan dapat mengembalikan situasi normal lalu.

WHO dalam perkembangannya memberitahu, pihaknya masih tidak jelas sama ada Omicron tersebar lebih mudah dari individu ke individu lain atau jangkitan varian itu mengakibatkan penyakit lebih teruk berbanding strain lain.

"Sekarang tidak ada maklumat yang menyarankan gejala yang ada kaitan dengan Omicron, berbeza dengan varian lain," kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Dapatan awal menunjukkan terdapat peningkatan risiko individu yang sebelum ini dijangkiti COVID-19, dapat dijangkiti semula dengan varian Omicron.

Bagaimanapun, dapatan itu mengandungi maklumat yang terhad.

WHO berkata pihaknya juga sedang bekerja keras untuk memahami potensi impak varian berkenaan dengan langkah untuk berdepannya, termasuk vaksin.

Untuk rawatan pula, organisasi itu berkata kortikosteroid dan penyekat reseptor IL6 masih berkesan untuk merawat pesakit COVID-19 yang teruk, manakala rawatan lain akan dinilai untuk melihat sama ada ia masih berkesan atau sebaliknya terhadap Omicron.

"WHO sedang menyelaraskan kajian dengan pembabitan ramai penyelidik seluruh dunia bagi memahami Omicron dengan lebih baik. Lebih banyak maklumat akan diperoleh dalam beberapa hari dan minggu," katanya. - AFP

Berita Harian X