Selasa, 23 November 2021 | 10:00pm
Pengarah Serantau untuk WHO Eropah, Hans Kluge
Pengarah Serantau untuk WHO Eropah, Hans Kluge

WHO bimbang 700,000 lagi kematian akibat COVID-19 di Eropah

COPENHAGEN: Eropah kekal 'dalam cengkaman kukuh' COVID-19' dan angka kematian di benua itu boleh mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini jika trend semasa berterusan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Kira-kira 700,000 boleh mati dalam beberapa bulan akan datang, kata WHO, apabila kes menjalar di seluruh Eropah, mendorong beberapa negara untuk mengenakan semula sekatan yang ketat.

WHO menjangkakan 'tekanan tinggi atau melampau di unit rawatan rapi (ICU) di 49 daripada 53 negara antara sekarang dan 1 Mac 2022'.

"Kematian terkumpul yang dilaporkan diunjurkan mencecah lebih 2.2 juta menjelang musim bunga tahun depan," tambahnya, meningkat daripada 1.5 juta angka semasa.

COVID-19 adalah punca utama kematian di seluruh Eropah dan Asia Tengah, WHO melaporkan, memetik angka dari Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan.

Peningkatan di Eropah dipacu oleh gabungan varian Delta yang sangat menular, perlindungan vaksin yang tidak mencukupi dan pelonggaran langkah seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal, katanya.

Menurut data WHO, kematian berkaitan COVID-19 meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, dua kali ganda daripada 2,100 kematian sehari pada akhir September.

WHO juga berkata, bukti semakin berkembang bahawa perlindungan yang disebabkan oleh vaksin terhadap jangkitan dan penyakit ringan semakin berkurangan.

"Situasi COVID-19 di seluruh Eropah dan Asia Tengah adalah sangat serius. Kami menghadapi musim sejuk yang mencabar di hadapan," kata Pengarah Serantau untuk WHO Eropah, Hans Kluge, dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa pendekatan 'vaksin tambah', yang terdiri daripada vaksinasi, penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka dan mencuci tangan.

WHO berkata, pelitup muka mengurangkan insiden COVID-19 sebanyak 53 peratus menurut kajian baru-baru ini, dan 'lebih 160,000 kematian boleh dicegah (menjelang 1 Mac) jika liputan pelitup muka universal sebanyak 95 peratus dicapai'. - AFP

Berita Harian X