Ahad, 17 Oktober 2021 | 4:57pm
Orang ramai bersiar di pantai Brighton, Melbourne, Australia. - Foto EPA
Orang ramai bersiar di pantai Brighton, Melbourne, Australia. - Foto EPA

Melbourne tamatkan perintah berkurung COVID-19 'paling lama'

MELBOURNE: Bandar ini, yang melaksanakan perintah berkurung COVID-19 'paling lama' di dunia, akan menamatkannya minggu ini.

Menjelang Jumaat ini, beberapa sekatan akan ditamatkan di bandar dihuni lima juta penduduk itu, yang berdepan enam sekatan pergerakan secara berkala berjumlah 262 hari atau sekitar sembilan bulan, sejak Mac tahun lalu.

Media Australia melaporkan, secara keseluruhan ia adalah sekatan pergerakan paling lama di dunia, melebihi perintah berkurung 234 hari yang dilaksanakan di Buenos Aires, Argentina.

Ketika kes COVID-19 terus meningkat di negeri Victoria, yang mana Melbourne adalah ibu kotanya, kadar vaksinasi berganda yang ditetapkan negeri itu akan mencapai 70 peratus minggu ini sekali gus membolehkan pelonggaran sekatan.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews, berkata pengumuman itu adalah hari yang sangat hebat, yang mana penduduk Victoria boleh berbangga dengan apa yang berjaya capai.

Walaupun lokasi hospitaliti termasuk hotel dan restoran serta sebahagian perniagaan dibuka semula, kapasiti yang dibenarkan masih tertakluk kepada sekatan yang ketat.

Difahamkan, kelonggaran yang lebih anjal termasuk pembukaan semula premis perniagaan akan dibenarkan apabila 90 peratus penduduk Victoria yang layak sudah menerima dos lengkap vaksinasi, dijangka dapat dicapai menjelang 5 November ini.

Sementara itu, negeri New South Wales, yang mengakhiri 100 hari sekatan pergerakan pada minggu lalu, melaporkan 301 kes dan 10 kematian akibat COVID-19.

Ini membuktikan sekatan pergerakan bukan strategi yang cekap, meskipun dengan mengambil kira hakikat bahawa 80 peratus penduduk New South Wales sudah melengkapkan suntikan pelalian COVID-19.

Namun, usaha itu ternyata sukar berikutan kemunculan varian Delta yang terbukti amat mudah lagi pantas tersebar.

Australia yang sebelum ini pernah menempa kejayaan susulan strategi sifar COVID-19 yang digunakan bagi menguruskan pandemik, sudah beralih kepada pendekatan hidup dengan virus melalui usaha meningkatkan lagi vaksinasi.

Setakat hujung minggu lalu, sekitar 68 peratus penduduk Australia sudah melengkapkan vaksinasi sepenuhnya.

Pegawai kesihatan Australia hari ini berkata, perjalanan bebas kuarantin dari Pulau Selatan New Zealand yang tidak mencatatkan sebarang kes akan dikuatkuasakan semula pada Rabu.

Kerajaan Australia turut mengadakan perbincangan dengan Singapura mengenai pembukaan semula perjalanan membabitkan kedua-dua negara bagi individu yang sudah lengkap divaksinasi.

Walaupun terdapat peningkatan kes dalam beberapa bulan kebelakangan ini, angka kes COVID-19 adalah rendah berbanding negara maju lain dengan lebih daripada 143,000 kes positif dan 1,530 kematian dicatatkan. - AGENSI

Berita Harian X