Sabtu, 16 Oktober 2021 | 5:44pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Polis Australia rampas heroin RM431 juta

MELBOURNE: Polis Australia merampas penghantaran heroin terbesar dalam sejarah negara itu bernilai kira-kira A$140 juta (RM431 juta).

Pihak berkuasa turut menahan menahan seorang suspek lelaki warga Malaysia berhubung kesalahan mengimport dadah berkenaan, yang dihantar dari Malaysia ke sebuah syarikat perniagaan di Melbourne.

Dalam satu kenyataan hari ini, polis Australia memaklumkan dadah seberat 450 kilogram (kg) atau seberat sebuah piano besar itu dikesan dalam kontena kapal yang diiktiraf mengandungi jubin seramik.

Polis tidak menamakan lelaki yang ditahan itu, seperti mana amalan biasa di Australia, kecuali jika membabitkan pendedahan identiti suspek dianggap memiliki kepentingan pada keluarga mangsa atau masyarakat.

Menurut polis, suspek didakwa mengimport dan cuba memiliki dadah kawalan dalam kuantiti komersial, yang mana penalti maksimum bagi kesalahan itu adalah penjara seumur hidup.

Pesuruhjaya Pemerintah Selatan Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett, memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami meneruskan kerjasama bagi mengenal pasti dan menggagalkan sindiket jenayah terancang rentas sempadan yang cuba mengancam kedua-dua negara.

"Mereka ini mengaut keuntungan jutaan dolar daripada kegiatan jenayah seperti ini," katanya dalam satu kenyataan.

Polis menganggarkan rampasan heroin itu berjaya menyelamatkan 225 nyawa, berdasarkan unjuran terdapat satu kematian dalam komuniti Australia bagi setiap dua kg heroin yang digunakan. - AGENSI

Berita Harian X