Jumaat, 15 Oktober 2021 | 10:20pm
Gambar fail menunjukkan pemimpin parti Liga Demokrasi Nasional (NLD), Aung San Suu Kyi (kanan) bersama ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, yang mendalangi rampasan kuasa 1 Februari lalu. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pemimpin parti Liga Demokrasi Nasional (NLD), Aung San Suu Kyi (kanan) bersama ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, yang mendalangi rampasan kuasa 1 Februari lalu. - Foto AFP

Gesa utusan khas dibenarkan bertemu Suu Kyi

SYDNEY: Sekurang-kurangnya lapan negara dan ketua diplomatik Kesatuan Eropah (EU) hari ini mendesak junta Myanmar membenarkan utusan khas bertemu dengan Aung San Suu Kyi.

Gesaan itu memuncak ketika timbul kebimbangan atas komitmen pemerintah tentera terhadap 'konsensus lima perkara' yang dipersetujui dengan blok ASEAN bagi meredakan krisis berdarah sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu di Myanmar.

Menteri-Menteri Luar ASEAN bertemu hari ini bagi membincangkan sama ada perlu melarang ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, menghadiri sidang kemuncak akan datang ekoran keengganan mendengar gesaan ASEAN.

Pihak berkuasa tentera memberitahu mereka tidak akan membenarkan utusan khas ASEAN, Erywan Yusof bertemu dengan sesiapa yang sedang dalam perbicaraan, termasuk Suu Kyi.

Dalam kenyataan bersama, Amerika Syarikat (AS), Britain, Australia, Kanada, Korea Selatan, New Zealand, Norway dan Timor Leste memaklumkan mereka begitu prihatin dengan keadaan di Myanmar.

Kumpulan negara itu, yang disokong ketua hal ehwal luar EU, Josep Borrell, turut mendesak Myanmar untuk terbabit secara konstruktif dengan utusan khas itu bagi menyelesaikan kemelut.

"Kami juga meminta tentera untuk menyediakan fasiliti kepada utusan khas ASEAN ketika mengadakan kunjungan berkala ke Myanmar supaya dapat berinteraksi secara bebas dengan semua pihak berkepentingan," menurut kenyaataan itu.

Kenyataan itu juga secara tidak langsung menjadi satu lagi gesaan terhadap junta yang gagal bekerjasama dengan Yusof, yang juga Menteri Luar kedua Brunei.

Kementerian Luar Myanmar semalam menegaskan Yusof tidak boleh bertindak melangkaui undang-undang sedia ada serta memintanya menumpukan kepada pertemuan membabitkan pegawai antara kerajaan.

Tekanan antarabangsa setakat ini tidak banyak memberi kesan kepada junta, yang melancarkan tindakan keras terhadap tunjuk perasaan sehingga menyebabkan kematian hampir 1,200 orang awam.

Rampasan kuasa pada Februari lalu mengakhiri demokrasi sementara negara itu selepas berpuluh tahun diperintah tentera, biarpun tentera sudah berjanji untuk mengadakan pilihan raya menjelang Ogos 2023.

Kerajaan junta, yang menggelar dirinya sebagai Majlis Pentadbiran Negara, mempertahankan dakwaan wujud penipuan dalam pilihanraya sebelum ini, yang ketika itu menyaksikan parti Liga Nasional Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi menang. - AFP.

Berita Harian X