Rabu, 13 Oktober 2021 | 4:12pm
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook melancarkan iPhone 13 baru dalam acara khas di Cupertino, California. - Foto EPA
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook melancarkan iPhone 13 baru dalam acara khas di Cupertino, California. - Foto EPA

Apple dijangka kurangkan pengeluaran iPhone 13

SAN FRANCISCO: Apple berkemungkinan tidak dapat memenuhi matlamat pengeluaran untuk model iPhone barunya sebelum musim percutian depan ekoran kekurangan cip elektronik global, menurut satu laporan semalam.

Firma itu sudah merancang menghasilkan 90 juta iPhone 13 sebelum akhir tahun ini, namun perlu menyelesaikannya dengan 80 juta kerana pembekal Broadcom dan Texas Instruments tidak dapat memenuhi permintaan, menurut Bloomberg News, memetik sumber yang enggan dinamakan.

Apple memperkenalkan barisan model iPhone barunya bulan lalu, dengan empat model baru, termasuk iPhone 13 mini, yang dijual dari AS$700 (RM2,914) dan iPhone 13 Pro Max, berharga AS$1,100 (RM4,579).

"Kami menjangkakan permintaan keseluruhan sudah kukuh di seluruh dunia," kata penganalisis Wedbush Dan Ives, menekankan permintaan kukuh terutama dari di China dan Amerika Syarikat (AS).

"Apple akan mengalami kekurangan unit iPhone 13 sebanyak lima juta pada musim percutian ini jika permintaan pengguna terus kekal seperti ini," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook memberi amaran pada laporan pendapatan suku tahunan pada akhir Julai lalu, bahawa kekangan rantaian bekalan akan memberi kesan lebih besar pada suku seterusnya berbanding tiga bulan sebelumnya.

Beliau menekankan, kekurangan cip elektronik akan mempengaruhi semua bahagian industri, bukan hanya Apple. - AGENSI

Berita Harian X