Ahad, 16 Mei 2021 | 4:40pm
Penduduk Palestin mengeluarkan kanak-kanak perempuan dari bawah runtuhan bangunan perumahan Rimal di bandar Gaza, hari ini, selepas bedilan oleh Israel di kawasan bawah kawalan Hamas. - Foto AFP
Penduduk Palestin mengeluarkan kanak-kanak perempuan dari bawah runtuhan bangunan perumahan Rimal di bandar Gaza, hari ini, selepas bedilan oleh Israel di kawasan bawah kawalan Hamas. - Foto AFP

Bedilan hari ketujuh

GAZA: Bedilan Israel ke arah Semenanjung Gaza memasuki hari ketujuh berturut-turut, dengan serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin.

Serangan awal pagi tadi turut menyebabkan lebih 12 yang lain tercedera, manakala dua bangunan kediaman di wilayah bergolak itu ranap.

Rumah ketua pejuang Hamas di Gaza, Yehya al-Sinwar, juga dijadikan sasaran utama tentera Zionis, bersandarkan laporan televisyen kumpulan terbabit.

Penunjuk perasaan yang menyelar tindakan Israel itu berkata, serangan Zionis dengan menyasarkan menara media, semalam ialah cerminan ke arah gerakan untuk menutup mulut warga Palestin.

Sehubungan itu, rancangan untuk melancarkan intifada atau gelombang kebangkitan yang ketiga ketika ini giat dilakukan.

Di Tel Aviv, iaitu pusat ekonomi Israel, orang ramai dilihat bertempiaran mencari tempat berlindung daripada bom, susulan siren amaran yang memandakan serangan roket ke arah kota terbabit.

Lebih 150 rakyat Palestin, termasuk 41 kanak-kanak, dilaporkan terkorban serangan bertali arus dilancarkan tentera Zioinis ke arah Semenanjung Gaza, sejak minggu lalu. Lebih 1,000 yang lain juga mengalami kecederaan.

Di Tebing Barat, pasukan ketenteraan Israel dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin.

Menerusi serangan balas oleh pejuang Hamas, seramai 10 warga Israel dilaporkan terbunuh, termasuk dua kanak-kanak.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijadual mengadakan pertemuan, hari ini bagi membincangkan krisis terburuk yang melanda antara Israel dan Palestin. - Al Jazeera

Orang ramai mencari mangsa di celah-celah runtuhan kejiranan Rimal di bandar Gaza hari ini, selepas Israel mengebom secara besar-besaran kawasan di bawah kawalan Hamas. - Foto AFP
Orang ramai mencari mangsa di celah-celah runtuhan kejiranan Rimal di bandar Gaza hari ini, selepas Israel mengebom secara besar-besaran kawasan di bawah kawalan Hamas. - Foto AFP

Berita Harian X