Sabtu, 8 Mei 2021 | 8:49pm
Gambar fail, Naib Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates. - Foto AFP
Gambar fail, Naib Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates. - Foto AFP

Tiada halangan bagi teruskan Olimpik - IOC

SYDNEY: Tiada apapun dapat menghentikan Sukan Olimpik Tokyo daripada diteruskan, biarpun wujud risiko berterusan COVID-19, kata Naib Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates.

Beliau berkata demikian hari ini ketika ditanya AFP mengenai senario temasya yang akan dimulakan pada 23 Julai ini, sama ada dibatalkan atau ditunda lagi pada saat akhir.

Katanya, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, memaklumkan perkara itu kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, kira-kira dua atau tiga minggu lalu.

"Kami bekerjasama dengan beliau (Suga) berkenaan semua aspek keselamatan. Temasya ini akan berlangsung," katanya.

April lalu, Suga mengadakan perbincangan dengan Biden dan menekankan negaranya sudah melakukan yang terbaik bagi membendung jangkitan COVID-19 dalam usaha menganjurkan Olimpik dengan selamat lagi terjamin.

Bagaimanapun, kelangsungan temasya itu menjadi persoalan berikutan wabak yang belum reda dan perintah darurat virus di Tokyo serta bahagian lain Jepun dilanjutkan lagi bermula semalam.

Coates, yang juga Ketua Suruhanjaya Koordinasi IOC, berkata banyak perkara sudah dilakukan bagi memastikan keselamatan atlet dan rakyat Jepun.

"Kami menghabiskan setengah tahun lalu untuk mengenal pasti semua senario terburuk.

"Kemudian, ia diteruskan enam lagi berikutnya untuk melihat langkah-langkah pencegahan yang perlu.

"Kami menerapkan tindakan sewajarnya dan temasya sukan ini akan diteruskan," katanya kepada wartawan di Sydney, di luar Mesyuarat Agung Tahunan Jawatankuasa Olimpik Australia.

Khamis lalu, firma gergasi ubat-ubatan AS, Pfizer dan rakannya dari Jerman, BioNTech, mengumumkan perjanjian dengan IOC untuk memberikan vaksin kepada atlet dan kakitangan di temasya itu.

Dalam satu kenyataan, firma itu berkata, pihaknya akan membuat koordinasi dengan badan sukan nasional untuk memastikan vaksin COVID-19 tersedia bagi sesiapa yang memerlukannya sebelum berangkat ke Jepun.

Coates berkata, langkah itu adalah kemajuan terbesar ke hadapan bagi menzahirkan penganjuran temasya sukan antarabangsa itu.

"Semua langkah pencegahan yang sudah diambil bertujuan memastikan kesihatan atlet dan kesihatan rakyat Jepun," katanya sambil menyangkal IOC meletakkan keutamaan sukan dan kewangan sebelum kesihatan.

"Kami sudah melakukan pelbagai usaha luar biasa ke dalam prosedur bagi memastikan keselamatan atlet melalui ujian ... ditingkatkan sekarang oleh semua atlet di seluruh dunia yang kini memiliki akses kepada vaksin.

"Bagaimanapun beberapa acara dan kelayakan ujian Olimpik ditunda, dibatalkan atau dipindahkan ke luar negara, umpamanya Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Tokyo, yang berjaya diadakan dengan pembabitan atlet antarabangsa. - AFP

Berita Harian X