Selasa, 4 Mei 2021 | 1:43pm
AS sedang meneliti untuk luluskan vaksin COVID-19 Pfizer untuk 12 tahun ke atas. Foto AFP
AS sedang meneliti untuk luluskan vaksin COVID-19 Pfizer untuk 12 tahun ke atas. Foto AFP

AS bakal luluskan vaksin Pfizer untuk 12 tahun ke atas

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas awal minggu depan, lapor media AS pada semalam.

Sebelum ini, Pfizer memohon kelulusan penggunaan kecemasan untuk vaksin COVID-19 keluaran syarikat itu untuk kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun, menurut laporan CNN yang memetik pegawai kerajaan.

"Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) AS perlu mengubah kelulusan penggunaan kecemasan untuk vaksin itu, namun prosesnya agak mudah," lapor CNN.

Selepas FDA AS memberi kelulusan yang dijangka awal minggu depan, jawatankuasa penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit akan bersidang untuk memberi saranan mengenai cara penggunaan vaksin itu.

Seorang jurucakap FDA enggan memberi perincian garis masa kelulusan itu, dan memberitahu The Washington Post bahawa badan itu sedang meneliti permohonan itu secepat mungkin serta setelus mungkin.

Ketika ini, vaksin Pfizer hanya diluluskan untuk diberikan kepada individu berusia 16 tahun dan ke atas di AS.

Hujung Mac lalu, syarikat farmaseutikal gergasi AS itu memaklumkan, sudah menghantar data hasil ujian klinikal membabitkan 2,260 kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun, yang menunjukkan vaksin itu amat berkesan dan boleh diterima, manakala ujian terhadap kanak-kanak lebih muda sedang berjalan.

Moderna pula sedang menjalankan ujian klinikal bagi vaksinnya terhadap remaja, dan hasilnya dijangka diperoleh sekitar Jun depan, di samping ujian terhadap kanak-kanak.

Johnson & Johnson turut dilaporkan akan menggunakan vaksinnya untuk menjalani ujian pediatrik.

Kelulusan untuk memperluas liputan vaksin kepada kumpulan remaja akan membolehkan jutaan lagi masyarakat diberikan vaksin COVID-19 di AS. - AFP

Berita Harian X