Rabu, 21 April 2021 | 11:59pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bunuh, makan emak

MADRID: Pihak pendakwaan di Sepanyol menuntut hukuman penjara 15 tahun, terhadap suspek yang bertindak mencekik ibunya, sebelum mencincang mayat mangsa dan memakannya, dalam kejadian kira-kira dua tahun lalu.

Pendakwa raya menuntut tempoh hukuman itu selepas suspek, Albert SG dibicarakan di mahkamah di Madrid, hari ini atas pertuduhan membunuh dan menghapuskan mayat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, suspek yang juga dikenali sebagai 'Kanibal Ventas', didakwa bertengkar dengan ibunya yang berusia 69 tahun, di flat didiami mereka di Ventas dalam kejadian pada tahun 2019.

Ketika pergaduhan, Albert mencekik ibunya sebelum mengheret mangsa ke bilik tidurnya.

Suspek kemudiannya menggunakan gergaji dan dua pisau dapur untuk memotong mayat mangsa.

"Suspek juga didakwa memakan mayat mangsa selama 15 hari dan menyimpan beberapa bahagian lain di dalam bekas plastik dalam peti ais dan sekitar rumahnya," menurut kertas pertuduhan.

Suspek juga meletakkan cebisan mayat ke dalam beg plastik sebelum membuangnya ke tong sampah.

Menurut laporan media tempatan, pegawai polis ketika memberi keterangan di mahkamah, hari ini, berkata mereka memasuki kediaman Albert sebelum suspek memberitahu dia memakan sebahagian daging ibunya mentah-mentah, manakala bahagian lain dimasak atau diberikan kepada anjing.

Laporan media sebelum ini menyatakan suspek ditahan pada 23 Februari 2019 selepas polis ke rumahnya, untuk bertanya mengenai ibunya yang dilaporkan hilang oleh kenalan.

Polis kemudiannya bertanya sama ada mangsa berada di dalam rumah, sebelum suspek memberi jawapan 'ya' dan membenarkan mereka masuk.

"Kami menemui satu lokasi kejadian jenayah yang amat mengerikan," kata seorang pegawai polis yang enggan dikenali kepada saluran berita, Telecinco.

Menurut polis, suspek pernah mempunyai masalah ketagihan dadah.

Pihak pendakwa raya meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara 15 tahun selain menuntut suspek membayar $110,000 (RM453,271) sebagai pampasan kepada abangnya. - AFP

Berita Harian X