Isnin, 22 March 2021 | 8:08pm
Ujian keberkesanan fasa III AS terhadap vaksin AstraZeneca 80 peratus berkesan untuk warga tua, tiada risiko pembekuan darah. - Foto AFP
Ujian keberkesanan fasa III AS terhadap vaksin AstraZeneca 80 peratus berkesan untuk warga tua, tiada risiko pembekuan darah. - Foto AFP

Vaksin 80 peratus berkesan, tiada risiko pembekuan darah - AstraZeneca

WASHINGTON: Vaksin COVID-19 AstraZeneca 80 peratus berkesan untuk mencegah penyakit pada orang tua dan tidak meningkatkan risiko pembekuan darah, kata firma bioteknologi itu hari ini berikutan ujian keberkesanan fasa III di Amerika Syarikat (AS).

Vaksin itu 79 peratus berkesan untuk mencegah gejala COVID-19 untuk keseluruhan populasi dan 100 peratus berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk dan menyebabkan kemasukan ke hospital.

Beberapa negara telah menasihatkan vaksin itu tidak diberikan kepada orang tua kerana kekurangan maklumat mengenai keberkesanannya kepada orang tua dalam ujian percubaan vaksin itu sebelum ini.

Awal bulan ini, beberapa negara juga menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana bimbang ia boleh menyebabkan pembekuan darah.

"Ujian keberkesanan fasa III AS vaksin itu dilaksanakan AstraZeneca dan Universiti Oxford membabitkan 32,449 peserta, dengan dua pertiga menerima suntikan," kata firma farmasi itu dalam satu kenyataan.

Kira-kira 20 peratus yang menjalani ujian berumur 65 tahun ke atas, dan sekitar 60 peratus mempunyai keadaan kesihatan yang berkaitan dengan risiko COVID-19 yang lebih tinggi, seperti diabetes, obesiti atau penyakit jantung.

Profesor Perubatan di Sekolah Perubatan Universiti Rochester, Ann Falsey, berkata penemuan itun mengesahkan hasil ujian sebelumnya dalam percubaan AZD1222 membabitkan semua peringkat populasi orang dewasa.

Namun, katanya apa yang menarik ialah ujian itu mahu melihat hasil keberkesanan yang serupa pada orang yang berusia lebih 65 tahun untuk pertama kalinya.

"Analisis ini mengesahkan vaksin AstraZeneca COVID-19 sebagai pilihan vaksinasi tambahan yang sangat diperlukan, yang menambahkan keyakinan bahawa orang dewasa dari semua peringkat usia memperoleh manfaat daripada perlindungan terhadap virus itu," katanya.

Menurut kenyataan AstraZeneca, Lembaga Pemantau Keselamatan Data mendapati ujian itu tidak menemui sebarang peningkatan risiko pembekuan darah dalam kalangan 21,583 peserta yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) telah meneruskan vaksinasi AstraZeneca selepas Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) Khamis lalu mengesahkan vaksin itu 'selamat dan berkesan' dan tiada kaitan dengan peningkatan risiko pembekuan darah.

AstraZeneca memaklumkan bersiap untuk menyerahkan hasil ujian itu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (FDA) bagi meluluskan suntikan itu bagi program vaksinasi COVID-19.

"Hasil ini menambah bukti yang menunjukkan bahawa vaksin ini ditoleransi dengan baik dan sangat berkesan terhadap semua tahap COVID-19 dan semua peringkat umur," kata Mene Pangalos, naib presiden eksekutif biofarmaseutikal R&D.

"Kami yakin vaksin ini dapat membantu dalam melindungi berjuta-juta orang di seluruh dunia dari virus pembunuh ini.

"Hasilnya juga menunjukkan bahawa pemberian suntikan dos kedua lebih dari empat minggu selepas dos pertama dapat meningkatkan keberkesanan kesembuhan.

Ujian sebelum ini menunjukkan jarak vaksin 12 minggu untuk setiap dos bagi meningkatkan keberkesanannya. - AFP

Berita Harian X